Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata, ini kerana pihaknya melihat penggabungan dan pengambilalihan (M&A) adalah satu peluang dan pilihan yang baik kerana AFB sudah memiliki platform sebagai perbankan Islam.

Katanya, bukan mudah bagi sesebuah institusi bukan perbankan seperti MBSB untuk memperoleh lesen perbankan apatah lagi kerajaan sudah tidak mengeluarkan lesen perbankan dan usaha menerusi M&A itu membolehkan kumpulan mencapai hasrat sebagai bank sepenuhnya.

“Ketika ini kami sedang cuba memenuhi semua keperluan dokumen setelah melengkapkan proses usaha wajar dan masih meneliti beberapa penilaian seperti rundingan penentuan harga sebelum dokumen ini dihantar kepada Bank Negara Malaysia (BNM) pada 20 Jun ini.

“Saya cuma berharap percubaan kali ketiga ini (untuk bergabung), kita akan bernasib baik. Malah, dengan kekuatan aset kita kira-kira RM43 bilion dan AFB lebih RM2 bilion akan meletakkan kita lebih besar berbanding beberapa bank komersial yang lain sekiranya penggabungan ini direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat agung tahunan MBSB ke-47 di sini hari ini. Yang turut hadir Ketua Pegawai Ke­wangan MBSB, Tang Yow Sai.

Tahun lalu, MBSB menerima kebenaran daripada BNM, yang menjelaskan tiada halangan untuk memulakan rundingan strategik bersama pemegang saham AFB iaitu Qatar Islamic Bank, RUSB Investment Bank Inc., Tadhamon International Islamic Bank dan Financial Assets Bahrain WLL.

Kebenaran itu turut menyatakan perbincangan berkenaan akan ditamatkan dalam tempoh enam bulan dari tarikh surat dikeluarkan iaitu 21 Disember 2016.