Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Hamirullah Boorhan berkata, MaybankPay membolehkan pelanggan membuat bayaran tanpa wang tunai melalui telefon pintar dan peranti mudah alih yang akan dicaj kepada kad Visa mereka tanpa mengguna kad debit atau kredit secara fizikal.

Katanya, MaybankPay dijangka menjadi revolusi kepada pembayaran elektronik di negara ini kerana ia menawarkan gerbang baharu yang membolehkan pengguna membawa kad di dalam peranti mudah alih.

“Pelancaran MaybankPay adalah sebahagian daripada strategi Maybank untuk mengukuhkan tawaran digital sejajar dengan objektif kumpulan untuk menjadi bank digital pilihan.

“Sebagai peneraju dalam perbankan elektronik dan digital, kami akan terus memanfaatkan teknologi bagi memastikan pelanggan kami mendapat faedah daripada peningkatan penumpuan telekomunikasi mudah alih dan perbankan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran MaybankPay sempena Pameran Perbelanjaan Maybank 2016 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias.
 Sementara itu, Hamirullah berkata, pihaknya juga bercadang untuk meluaskan perkhidmatan tersebut ke pasaran Maybank yang lain iaitu Indonesia, Singapura dan Filipina menjelang akhir tahun depan.

“Ini adalah fokus seterusnya bagi kami kerana pertumbuhan pengguna telekomunikasi mudah alih di pasaran-pasaran terbabit,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Maybank berharap dapat menyertai dan memberi pandangan berhubung kertas perundingan mengenai teknologi kewangan (fintech) yang dikelolakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

“Kami berharap untuk bekerjasama dengan BNM dalam menggubal rangka kerja pengawal seliaan bagi memudahkan penggunaan inovasi teknologi dalam industri perkhidmatan kewangan Malaysia,” jelasnya.