Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong berkata, ia merupakan yang pertama dari bank di Malaysia bagi meningkatkan pengalaman dan kemampuan pelanggan merancang masa depan.

Katanya, mengambil kira statistik hampir 40 peratus rakyat Malaysia tidak merancang kewa­ngan mereka dengan lebih awal, alat perancangan kewangan Maybank meliputi Pelan Simpanan Sasaran, Penjejakan Perbelanjaan dan Papan Pemuka Insurans.

Jelas beliau, ciri Pelan Simpanan Sasaran membolehkan para pelanggan untuk membahagikan wang mereka ke dalam beberapa sasaran tanpa perlu membuka akaun berasingan.

“Sejak pelancaran percubaan Pelan Simpanan Sasaran pada bulan lepas, kami dapat melihat lebih 4,500 sasaran telah dibuat dengan RM31.5 juta disasarkan untuk disimpan.

“Kami menyasarkan jumlah ini akan meningkat sebanyak 100 peratus menjelang akhir tahun,” kata­nya dalam kenyataan di sini hari ini.

Para pelanggan boleh pada bila-bila masa menambah Pelan Simpanan Sasaran mereka sekiranya mereka ingin mempercepatkan pencapaian sasaran atau menjimatkan lebih daripada jumlah yang dikehendaki.

Ciri Penjejakan Perbelanjaan membolehkan para pelanggan memantau perbelanjaan daripada kad debit dan kredit mereka membolehkan pelanggan memahami perbelanjaan mereka berdasarkan penggunaan kad mereka.

Papan Pemuka Insurans membolehkan para pelanggan melihat polisi Etiqa Takaful Life dan Ge­neral Insurance yang dibeli mela­lui gambaran keseluruhan mengenai pelan perlindungan mereka.

Mereka juga boleh membeli pelan Insurans dan pelaburan dari Etiqa dengan lancar melalui Maybank2u.