Ketua Pegawai Teknologi Kumpulan Maybank, Mohd. Suhail Amar Suresh Abdullah berkata, sasaran berkenaan dipacu oleh penggunaan platform mudah alih yang semakin tinggi dalam kalangan pelanggan Maybank dan kewujudan aplikasi baharu yang dilancarkan awal tahun ini.

Menurutnya, setakat ini Maybank telah mencatatkan nilai transaksi kira-kira RM19 bilion.

Keseluruhan transaksi tahun ini juga dijangka mencecah 1 bi­lion berbanding 484.7 juta yang direkodkan tahun 2016.

“Saluran digital Maybank me­nunjukkan lonjakan ketara dalam tiga tahun kebelakangan ini de­ngan 48 peratus pelanggan kami telah mula menggunakan platform digital secara aktif.

“Keyakinan pelanggan kepada platform digital juga semakin baik dengan ketika ini 50 peratus akaun semasa baharu dibuka melalui saluran digital kami,” katanya dalam taklimat media sempena Hari Digital Maybank di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan Maybank, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dan Ketua Pegawai Strategi Maybank, Michael Foong.

Mohd. Suhail berkata, aplikasi mudah alih Maybank2u yang dilancarkan awal tahun ini bersifat lebih mesra pengguna dan mempunyai pendekatan lebih mudah sekali gus berjaya meningkatkan pengalaman pengguna.

“Pelanggan amat tertarik de­ngan reka bentuk dan kelainan yang ditampilkan serta dapat memastikan banyak transaksi ber­ulang dapat dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu Foong berkata, Kumpulan Maybank terus komited untuk menjadi peneraju dalam perbankan digital bagi mencapai objektif strategik untuk menjadi bank digital pilihan rantau ini menjelang tahun 2020.

Katanya, Maybank sentiasa bersikap proaktif dengan menjadikan proses inovasi sebagai pemangkin supaya dapat bergerak seiring dengan persekitaran operasi masa kini.

“Pendekatan digital kami adalah berpaksikan kepada empat tumpuan utama iaitu meningkatkan penawaran produk pelanggan, melabur dalam kemampuan strategi, meneroka dan memahami dengan mendalam pelbagai sudut perniagaan serta mewujudkan dan menyertai ekosistem digital,” ujar beliau.