Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Nora Manaf berkata, manfaat itu diperkenalkan selepas membuat semakan menyeluruh terhadap dasar dan program yang kini ditawarkan oleh kumpulan.

Katanya, Dasar Penambahan Hari Cuti Bersalin ini memboleh­kan kakitangan wanita yang layak untuk menyambung cuti mereka sehingga 365 hari daripada tarikh bersalin dengan pembayaran gaji yang berubah-ubah.

“Selain 90 hari cuti bersalin sedia ada dengan gaji penuh, dasar baharu ini membolehkan pekerja memohon tempoh cuti bersalin tambahan tiga bulan dengan separuh gaji dan enam bulan lagi tanpa gaji.

“Peningkatan kepada Dasar Cuti Bersalin 90 hari yang sedia ada ini merupakan satu lagi ciri utama komitmen kami terhadap agenda Kepelbagaian dan Kete­rangkuman Maybank selaras de­ngan usaha berterusan kami untuk menginsankan pengurusan manusia,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Pengumuman itu dibuat sempena Hari Wanita Antarabangsa yang disambut hari ini.

Maybank sentiasa memperkenalkan penyelesaian inovatif untuk mewujudkan persekitaran tempat kerja yang membina bagi manfaat kakitangannya, terma­suk kakitangan wanita.

Ini termasuk dasar Aturan Kerja Fleksi, manfaat mesra keluarga, Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Maybank, bilik penyusuan, gimnasium untuk wanita, dan pelbagai lagi program berkaitan kesihatan dan penjagaan diri.

Pada 2014, Maybank turut memperkenalkan Jawatankuasa Mentor Wanita Untuk Wanita (WMW) bertujuan meningkatkan penglibatan wanita di peringkat pertengahan, pengurusan kanan dan atasan.

Jawatankuasa tersebut terdiri daripada 13 wanita di seluruh kumpulan yang menggunakan pengalaman profesional dan rangkaian mereka untuk menyokong inisiatif berkenaan.

Selain inisiatif Dasar Penambahan Cuti Bersalin, Maybank juga telah memperkenalkan dasar Cuti Sabatikal untuk semua kakitangannya. Di bawah inisiatif itu, kakitangan yang layak dibenarkan mengambil cuti antara tiga sehingga 24 bulan dengan jaminan dapat kembali bekerja.

Menurut Nora, tempoh cuti bersalin yang dilanjutkan itu tidak akan menjejaskan rekod pekerjaan kerana kakitangan tersebut mendapat perlindungan perubatan dan insurans mengikut gred ganjaran pekerjaan mereka.