Ketua Maybank Group Islamic Banking dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, antara anugerah yang berjaya diraih institusi perbankan berkenaan termasuklah The Islamic Bank of the Year bagi rantau Asia Pasifik.

Selain itu, Maybank Islamic turut memenangi kategori Bank Islam Terbaik dan Bank Runcit Terbaik di Malaysia, iaitu kemenangan ketujuh berturut-turut sejak 2011.

Jelas beliau, kemenangan yang dicapai merupakan kerjasama dan sokongan dalaman yang kuat dari seluruh pasukan di Maybank Group.

“Perniagaan perbankan Islam kumpulan telah berkembang pesat melalui kerja berpasukan kukuh yang telah diterapkan.

“Pengiktirafan seperti ini pasti­nya akan mendorong kami ke hadapan untuk mengukuhkan lagi usaha berkembang maju dalam industri dan kami akan terus komited dalam menyediakan penyelesaian inovasi kepada pelanggan,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Anugerah Kewangan Islam Asset Triple A 2017 telah berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini dengan Maybank Islamic diwakili oleh Ketua Perbankan Korporat dan Pelaburan, Arshad Mohamed Ismail.

Turut hadir Ketua Bersama Debt Capital Market Maybank Investment Regional, , Wong Kwok Kuan; Ketua Debt Capital Market Maybank Investment Regional, V. Saraswathy; Ketua Debt Market Maybank Investment Regional, Caroline Teoh dan Ketua Debt Capital Market Maybank Investment, Tengku Arif Azhar Tengku Mohamed.

Maybank Islamic adalah bank Islam terkemuka dan terbesar di Malaysia serta merupakan satu daripada bank Islam terkemuka di dunia dengan menguasai 33.9 peratus pasaran domestik daripada pembiayaan Islam dan 29.7 peratus bagi deposit serta akaun pelaburan setakat 31 Mac lalu.

Keuntungan sebelum cukai Maybank Group Islamic Banking bagi pasaran utama di Malaysia, Singapura dan Indonesia untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016 meningkat 13.4 peratus kepada RM1.95 bi­lion manakala pendapatan juga meningkat 12.9 peratus kepada RM3.87 bilion.

Dalam majlis berkenaan, Maybank Singapura turut dianuge­rahkan Bank Islam terbaik dan Bank Runcit Terbaik di Singapura selain anugerah kategori Tawaran Islam Terbaik di Singapura setelah menyusun perjanjian pembiayaan hotel patuh syariah pertama Singapura tahun lalu.