Petronas meraih Augerah Jenama Majikan Terbaik dalam kategori kejuruteraan manakala Maybank bagi kategori perban­k­an, AirAsia bagi kategori e-dagang dan Sunway Group pula bagi kategori hartanah.

Pemenang lain bagi anugerah tersebut termasuklah IKEA Malaysia bagi kategori peruncitan, AIA Bhd. (insurans), Nestle (barang pengguna fast-moving), Operasi Perniagaan Shell (per­khidmatan perkongsian), Microsoft (teknologi maklumat dan komunikasi) dan PWC Malaysia (perakaunan dan perkhidmatan profesional).

Timbalan Ketua Pengarah Pe­ngajian Tinggi (Sektor Swasta), Dr. Mohd. Nor Azman Hassan berkata, anugerah tersebut mengiktiraf kecemerlangan da­lam kalangan organisasi sekali gus merapatkan jurang antara in­dustri dan akademik.

“Adalah penting untuk mencapai komitmen kerajaan me­ngubah sistem pendidikan Malay­sia supaya mampu bersaing de­ngan kesejahteraan industri glo­bal yang sentiasa berubah,” katanya dalam majlis anugerah tersebut.

Majlis Anugerah Pilihan Le­pa­san Universiti 2018 dihadiri lebih 400 individu terdiri daripada pelbagai institusi pendidikan tinggi awam dan swasta serta pe­mimpin pelajar.

Wakil daripada pelbagai orga­nisasi korporat dan tetamu jemputan.

Anugerah tersebut menyaksikan lepasan universiti daripada lebih 100 kampus merentasi seluruh negara mengundi jenama majikan yang menjadi pilihan mereka melibatkan 360 syarikat yang dicalonkan dalam 10 kate­gori.

Sementara itu, menurut Pe­ngasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Hrincampus, Ben Ho, penganjuran anugerah tersebut merupakan satu kejayaan besar berdasarkan penglibatan daripa­da organisasi korporat dan universiti.

“Saya percaya ini menunjukkan betapa pentingnya majikan untuk mendekati para pelajar ini dan membuat pengambilan pekerja dalam kalangan graduan sebagai sebahagian daripada pro­­ses pengambilan pekerja yang strategik,” katanya.

Sementara itu dalam carian di laman web Jobstreet.com mendapati Maybank kekal menjadi majikan paling popular dengan mendapat 1,177 penarafan diikuti CIMB Group (679), Telekom Malaysia Berhad (631), RHB Banking Group (573) dan Celcom (557).

Lima lagi syarikat paling popular dalam kalangan pencari kerja termasuklah Public Bank Berhad (510 penarafan), Malaysia Airlines Berhad (476), Hong Leong Bank Berhad (449) dan IBM Malaysia Sdn. Bhd. (425),

Pada Jun tahun lalu, Maybank kekal menjadi syarikat tersenarai awam terbesar di Bursa Malaysia dengan modal pasaran mencecah RM100 bilion, menja­dikannya sebagai syarikat pertama dalam bursa yang berjaya meraih ang­ka tersebut.

 

Jenama majikan pilihan lepasan universiti 
mengikut kategori

• Petronas : Kejuruteraan

• Maybank : Perbankan

• AirAsia : E-dagang

• Nestle : Barang pengguna 
 fast-moving

• AIA Bhd. : Insurans

 

Majikan paling popular dalam laman web Jobstreet.com

• Maybank : 1,177 penarafan

• CIMB Group : 679 penarafan

• Telekom Malaysia Berhad: 631 penarafan

• RHB Banking Group: 573 penarafan

• Celcom : 557 penarafan