Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, Kumpulan terharu dengan anugerah tersebut yang juga bukti kepada usa­ha berterusan syarikat dalam meningkatkan ekuiti jenamanya dalam kalangan pelanggan.

“Kami telah bekerja keras selama ini untuk meningkatkan pengalaman jenama kami melalui penglibatan dengan pelanggan di semua saluran, dan kami ingin mengucapkan terima kasih di atas penghormatan ini dan juga atas kepercayaan dan sokongan mereka selama ini.

“Kami percaya anugerah ini juga menguatkan lagi kejayaan kami dalam membina pengalaman pelanggan yang unik dan Kumpulan berhasrat untuk meneruskan usaha bagi mewujudkan pengalaman pelanggan yang konsisten di seluruh rangkaian global kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

WBF yang menganjurkan Anugerah Penjenamaan Dunia berprestij ini merupakan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang berpangkalan di London.

WBF mengiktiraf dan meraikan jenama terbaik global dan nasional dari segi kerja dan pencapaian yang dinilai menerusi tiga faktor utama iaitu penilaian jenama, penyelidikan pasaran pengguna serta undian awam dalam talian.

Penganugerahan ini disediakan untuk tiga peringkat iaitu global, nasional dan serantau yang diberikan kepada jenama antarabangsa yang diguna pakai di 10 buah negara, tiga atau lebih benua dan terhad kepada 100 jenama global dalam tahun berkenaan.

Anugerah Nasional diberikan kepada jenama utama di setiap negara yang menyertainya.

Sementara itu, Pengerusi WBF, Richard Rowles dalam ucapannya berkata, anugerah tersebut bagi meraikan kerja keras yang telah diberikan dalam membina jenama yang hebat.

“Memandangkan sebahagian daripada pengundi terdiri daripada pengguna, pemenang anugerah jelas menunjukkan bahawa mereka telah membina kesetiaan jenama yang kukuh dalam kalangan pelanggan dan peminat mereka. Anugerah ini juga adalah bukti kepada mereka yang bekerja di belakang tabir dalam membina dan mengekalkan jenama,” ujarnya.