Ketua Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk Lim Hong Tat berkata, perkhidmatan itu membolehkan pelanggan memindahkan wang lebih daripada 500,000 ejen Western Union di lebih 200 negara dan wilayah.

Katanya, perkhidmatan pindahan wang 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, termasuk cuti umum membolehkan pe­langgan memindahkan wang se­hingga RM10,000 sehari.

Ujarnya, penerima boleh mendapatkan wang mereka sebaik sahaja wang itu dimasukkan dan perkhidmatan pindahan digital itu boleh dilakukan di laman web Maybank2u.

“Perkhidmatan baharu ini mencerminkan komitmen May­­bank yang sama seperti Western Union dalam menyediakan pelanggan dengan perkhidmatan kewangan me­rentas sempadan terbaik.

“Kami telah merevolusikan proses pindahan wang untuk pelanggan Maybank berban­ding dengan perkhidmatan disediakan ketika ini memerlukan mereka mengunjungi lokasi ejen Western Union untuk memindahkan wang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kini, orang ramai hanya perlu memasuki aplikasi M2u dan memilih perkhidmatan Western Union dan transaksi sudah boleh disempurnakan.

Perkhidmatan baharu itu akan mengukuhkan keduduk­an Maybank sebagai peneraju perkhidmatan dalam talian dan membantu untuk mengembangkan perniagaannya yang membolehkan transaksi menggunakan platform digital.

Ketika ini, Maybank mempunyai asas pelanggan yang kerap menggunakan perkhidmatan digital, log masuk dan melakukan transaksi jauh lebih banyak daripada saingannya.

Maybank merupakan pene­raju dalam penyedia perbank­an mudah alih di negara ini dengan 62 peratus daripada semua urus niaga perbankan mudah alih di Malaysia dilakukan melalui Maybank2u.