Menurut Maybank Islamic, bot yang dibeli melalui projek wakaf sumbangan Islam akan diserahkan kepada persatuan nelayan dan disewa kepada nelayan membolehkan mereka menangkap ikan di perairan dalam seterusnya mening­katkan pendapatan mereka.

Katanya, perjanjian itu adalah yang pertama dimeterai di bawah inisiatif dana myWakaf.

“Sebanyak enam institusi perbankan Islam akan bekerjasama dalam menyediakan perkhidmatan perbankan untuk memudahkan penyumbang memberikan wang tunai untuk pembangunan projek wakaf,” katanya dalam kenyataan di sini kelmarin.

Perjanjian usahasama pembangunan dana wakaf itu telah disaksikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Kompleks Islam Darul Ridzuan, Ipoh, Perak.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Nor Shahrizan Sulaiman; Ketua Pengurusan Shariah Maybank Islamic, Munawwaruzzaman Mahmud; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Datuk Dr. Amiruddin Mohamed dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Wan Maizura Wan Zahari.

Mengulas tentang kerjasama itu, Presiden Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), Datuk Mohd. Redza Shah Abdul Wahid berkata, dana ber­kenaan mampu menjadi pemangkin sosio-ekonomi.

Jelas beliau, ia menyediakan saluran untuk pengumpulan dana wakaf yang cekap dan berkesan melalui institusi perbankan Islam yang berkaitan memberi tumpuan kepada empat sektor iaitu pemerkasaan ekonomi, pendidikan, kesihatan dan pelaburan.

“Ia akan memberikan pendekatan yang lebih telus dan kod tadbir urus yang mampu menanamkan keyakinan dalam kalangan penyumbang,” katanya.

Tahun lepas, sebanyak enam institusi perbankan Islam, iaitu Affin Islamic Bank, Bank Islam, Bank Rakyat, Bank Muamalat Malaysia, Maybank Islamic dan RHB Islamic Bank menandatangani perjanjian kerjasama strategik dana wakaf untuk menyediakan pengantaraan berasaskan nilai kepada pengguna.