Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, Nora Abdul Manaf berkata, kedua-dua pengiktirafan berkenaan membuktikan komitmen berterusan syarikat dalam mewujudkan tempat kerja yang kondusif dan inklusif kepada 43,000 kakitangannya.

Katanya, pekerja memainkan peranan aktif dalam mewujudkan budaya kerja yang baik seterusnya mengukuhkan lagi kedudukan syarikat sebagai tempat terbaik untuk membina kerjaya.

“Penyumbang utama kepada kejayaan ini adalah inisiatif berterusan Maybank seperti Persediaan untuk Masa Hadapan iaitu sebuah program kemahiran digital dan nilai saranan majikan (EVP) yang menggalakkan para pekerja untuk menempuh cabaran dan berusaha sehingga berjaya.

“Pasukan kepimpinan di Maybank komited untuk terus membentuk pekerja menjadi yang terbaik dalam industri ini. Menerusi komitmen ini Maybank telah melabur sebanyak RM30 juta pada tahun ini untuk program Persediaan Masa Hadapan bagi menginsankan pemba­ngunan pekerja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Nora, EVP juga menjadi faktor utama dalam mereali­sasikan persekitaran kerja dan budaya yang kondusif untuk pekerja dan dicari oleh bakat dan pencari kerja.

Graduan adalah penerbitan terkemuka negara yang memberi maklumat kepada para pelajar dan siswazah berkaitan gambaran menyeluruh landskap kerjaya di Malaysia.

Sementara itu, Randstad yang berpusat di Belanda merupakan peneraju global dalam industri perkhidmatan sumber manusia dengan kehadiran di pasaran kukuh seperti di rantau Asia Pasifik serta mempunyai pejabat di Singapura, Hong Kong, China, Jepun, India, Australia, New Zealand dan Malaysia.