Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Robert Nason berkata, ketika ini permintaan terhadap jalur lebar berkelajuan tinggi itu sedang ber­kembang dengan berlipat-kali ganda.

“Kami sedang aktif berbincang dengan penyedia rangkaian fiber lain di Malaysia seperti TIME dotCom Bhd. serta Telekom Malaysia Bhd. (TM) yang sentiasa sangat menyokong.

“Apa yang kami buat adalah mengakses rangkaian fiber syarikat-syarikat ini, selain turut juga membina rangkaian fiber sendiri untuk kegunaan mereka, ini akan menggalakkan pertumbuhan,” katanya ketika menyampaikan taklimat media di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Maxis, Gokhan Ogut; Ketua Perniagaan Pengguna, V. Dushyan; Ketua Pegawai Perusahaan, Paul McManus serta Ketua Jualan dan Per­khidmatan syarikat itu, Tan Lay Han.
 Maxis hari ini mengumumkan seramai 40,000 pelanggan baharu dan sedia ada yang ingin menaik taraf telah mendaftar untuk me­langgan pakej jalur lebar berkelajuan tinggi fibernya yang dilancarkan pada Ogos lalu.

Nason berkata, sebagai sebahagian daripada proses pemasangan, seramai 600 kakitangan Maxis berkumpul untuk mengambil bahagian dalam kempen Fibrenation Box Swap bagi membantu menukar router WiFi pelanggan.

“Kedua-dua pelan jalur lebar fiber baharu bagi pengguna dan perniagaan ini akan menawarkan kelajuan maksimum 100Mbps pada harga sehingga 65 peratus lebih rendah berbanding pelan sebelum ini.

“Router baharu ini akan dipasang tanpa caj tambahan, namun buat pelanggan sedia ada yang ingin menaik taraf pelan, mereka akan dikontrakkan semula selama 24 bulan, juga tiada caj tambahan,” jelasnya.

Tambah beliau, Maxis akan terus bekerjasama dengan kerajaan dan pembekal akses untuk mendapatkan lebih kawasan rangkaian yang akan mengupayakan syarikat untuk menawarkan pelan baharu kepada pelanggan.

“Kami percaya fiber mempu­nyai masa depan yang baik dan kami mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia kerana memudahkan pe­ngurangan harga borong jalur lebar,” katanya.