Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Morten Lundal berkata, suku ketiga 2017 merupakan tempoh yang kukuh bagi Maxis dengan mencapai keuntungan sukuan tertinggi dalam tempoh lima tahun.
Selain itu, rekod permintaan tinggi terhadap data dan rangkaian berkualiti tinggi Maxis telah meraih skor kepuasan pelanggan tertinggi sepanjang masa.
“EBITDA berkembang lima peratus kepada RM1.20 bilion daripada RM1.14 bilion yang dicatat pada suku sama 2016, sekali gus menunjukkan usaha pengoptimuman kos telah membawa kepada perolehan lebih tinggi dan keputusan kewangan positif.
“Margin EBITDA bagi perolehan pendapatan kukuh pada 55.8 peratus berbanding 54.1 peratus tahun lepas, manakala keuntungan bersih meningkat 8.3 peratus kepada RM562 juta berbanding RM519 juta disokong oleh EBITDA lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Perolehan perkhidmatan Maxis meningkat dua peratus pada suku ini kepada RM2.15 bilion berbanding RM2.11 bilion yang dicatat setahun lepas didorong oleh pasca bayar yang mencatat pertumbuhan mapan.
Beliau berkata, segmen pasca bayar mencapai pertumbuhan 9.3 peratus dengan perolehan RM1.06 bilion berbanding RM965 juta pada tahun lepas.
Jelasnya lagi, pencapaian itu didorong oleh asas pelanggan kukuh menghampiri dua juta pelanggan pelan MaxisONE yang menyumbang hasil purata setiap pelanggan (ARPU) yang tinggi sebanyak RM117 sebulan.
“Langganan Hotlink FAST meningkat kepada lebih dari dua juta dan kami terus menerajui pasaran prabayar 4G dengan ARPU Hotlink FAST yang tinggi sebanyak RM43 sebulan.
“Walau bagaimanapun, persaingan berasaskan harga yang sengit dan asas langganan menjana pendapatan yang lebih rendah disebabkan oleh penggabungan kad SIM mengakibatkan hasil prabayar merosot,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE