Terdapat juga orang-orang yang mengalami kerugian saham ini telah pun memiliki pelbagai ilmu pelaburan. Sesetengahnya pula telah menghadiri bermacam kelas dan seminar saham percuma mahu pun berbayar tetapi masih juga tidak dapat menjana keuntungan yang konsisten.

Hari ini, Cikgu Saham senaraikan sebab-sebab mengapa orang-orang yang mempunyai ilmu pelaburan tetapi masih juga mengalami kerugian.

* Selepas tamat mengikuti pembelajaran saham di seminar atau kelas saham, jangan terus masuk pasaran.

Ambil masa satu bulan untuk membuat pemerhatian atau kajian saham. Tempoh pemerhatian dan kajian ini boleh jadi sehingga tiga bulan. Belajar saham secara asas tidak cukup untuk melayakkan seseorang itu membuat jual beli di pasaran terbuka dan menghasilkan keuntungan yang konsisten. Ia memerlukan pembelajaran yang lebih terperinci tetapi hanya yang penting-penting sahaja yang sesuai dengan suasana pasaran saham di Malaysia.

* Anda perlu belajar analisis teknikal untuk membaca pergerakan saham.

Asas yang kukuh untuk berjaya dalam saham tidak dapat disangkal lagi iaitu dengan memiliki ilmu analisis teknikal.

Dengan melihat carta-carta pergerakan saham, kita boleh membuat keputusan sama ada sesuatu kaunter itu berada di dalam aliran menaik atau akan memasuki signal menjual.

* Modal pelaburan yang terlalu kecil.

Sekiranya seseorang pelabur atau pedagang saham menggunakan modal yang terlalu kecil, ditakuti saham yang dibeli itu jatuh dan mengambil masa yang lama untuk naik semula. Oleh kerana modal yang terlalu kecil, pelabur tidak dapat membeli saham syarikat lain yang lebih berpotensi. Apa yang boleh dilakukan ialah hanya menunggu saham tersebut naik dan memberikan hasil.

* Tidak faham apa yang 
diajar.

Sesetengah orang agak lemah untuk memahami sesuatu mata pelajaran yang baharu. Begitu juga ilmu saham yang mempunyai berbagai modul dan subjek. Walaupun tenaga pengajar menerangkan sesuatu perkara itu berulang-kali, bagi sesetengah orang, mereka sukar mengingati apa yang disampaikan ataupun tidak faham langsung apa yang diterangkan.

* Sentimen pasaran yang lemah atau jatuh semasa beli saham.

Sekiranya pasaran mengalami aliran menurun, sudah pasti banyak saham syarikat tersenarai mengalami penurunan. Dan sesetengah orang tidak tahu bahawa sentimen pasaran juga memainkan peranan dalam mempengaruhi turun naik harga saham syarikat tersenarai di papan Bursa Malaysia.

l Membeli saham berpandukan kepada jumlah dagangan semata-mata tanpa menyemak carta saham atau indikator analisis teknikal.

Terdapat juga sesetengah pedagang saham jangka masa singkat membeli saham hanya berpandukan kepada jumlah dagangan semata-mata tanpa menyemak indikator-indikator analisis teknikal yang lain.

Kaedah membeli saham cara ini sangat popular pada tahun 90an dahulu yang mana pelabur dan pedagang saham belum begitu celik ilmu analisis teknikal.

* Tidak faham apa yang diajar dan tidak bertanya semula perkara yang tidak difahami.

Sesetengah peserta yang hadir kelas pembelajaran saham merasa segan untuk bertanya soalan atau kemusykilan saham. Keadaan ini terjadi lebih-lebih lagi jika sesuatu seminar saham itu bilangan pesertanya terlalu ramai.

* Tidak faham rentak atau trend pasaran.

Ini termasuk penggiliran sektor yang bertukar-tukar mendominasikan gelanggang saham-saham untung yang cergas. Untuk menjadi seorang pelabur dan pedagang saham yang berjaya membuat keuntungan yang konsisten perlu tahu mencari maklumat saham serta peka kepada faktor-faktor persekitaran yang mempengaruhi pasaran. Ini juga termasuk trend turun naik pasaran, sejarah harga terendah dan tertinggi saham syarikat tersenarai serta penggiliran sektor yang mendominasikan saham-saham cergas dalam aliran menaik.

* Tidak membuat urus niaga di atas kertas terlebih dahulu.

Ramai yang terjun dalam pasaran saham tanpa membuat persiapan terlebih dahulu. Persiapan yang dimaksudkan ialah dengan membuat urus niaga di atas kertas atau paper trade. Dari situ kita dapat mengetahui berapakah peratus ketepatan apabila memasuki pasaran dan berapakah peratus keuntungan setiap kali membeli saham di atas kertas ini.

Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Begitu juga dalam pelaburan dan perdagangan saham. Anda perlu bijak menangani setiap masalah yang datang dan jika perlu, minta nasihat pakar pelaburan yang bertauliah dan diiktiraf.

Seminar pendidikan saham akan diadakan di Bandar Baru Bangi. Sila hubungi talian 013-3899162 atau 013-3225274.