Presiden Maseu, Alias Aziz berkata, pihaknya mengakui bahawa langkah-langkah tegas perlu diambil untuk menyelamatkan MAS termasuklah perubahan di dalam tenaga kerja dan sebagai kesatuan pekerja dalaman terbesar, tumpuan Maseu adalah memastikan bahawa pekerja mendapat layanan yang adil, telus dan berperikemanusiaan di bawah penstrukturan yang sedang dilaksanakan.

Tambahnya, hal itu terutamanya berkaitan dengan penilaian dan pemilihan kakitangan serta pakej-pakej yang ditawarkan.

“Maseu ingin menyatakan komitmen penuh kami untuk bekerjasama dengan Mueller dan MAS bagi memastikan kesan penstrukturan MAS kepada kakitangan ditangani secara berkesan melalui pakej yang bersesuaian dan mengambil kira belas kasihan kepada kakitangan yang akan meninggalkan syarikat serta pakej yang menarik kepada kakitangan yang akan terus berkhidmat.

“Kesatuan menyarankan agar peralihan kakitangan dilaksanakan secara berperingkat untuk memastikan MAS baru dapat beroperasi dengan maju dan kakitangan diberi masa untuk menyesuaikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah), pada 30 Ogos 2014 mengumumkan 12 pelan pemulihan MAS termasuk dengan mengambil langkah untuk mengurangkan 6,000 kakitangannya. Langkah itu turut disusuli untuk memberi peluang kepada kakitangan yang diberhentikan itu ditempatkan ke pusat latihan semula.

Dalam pada itu Alias berkata, Maseu menyambut baik penubuhan pusat pembangunan korporat (CDC) yang akan menawarkan khidmat latihan semula kepada kakitangan yang akan meninggalkan MAS.

“Kesatuan berharap kakitangan yang akan berkhidmat dengan MAS baharu akan diberi peluang sewajarnya untuk menyesuaikan diri dengan tuntutan kerja yang baharu,” katanya.

Ujarnya lagi, memandangkan penstrukturan MAS telah memasuki fasa yang kritikal, pihaknya menggesa agar MAS menyediakan maklumat yang sesuai dan tepat melalui panel rundingan kakitangan bagi mengurangkan keresahan kakitangan selain membolehkan mereka membuat perancangan masa depan dengan baik.