Ia sangat terkesan kerana sebenarnya saya tidak mempunyai jawapan yang khusus. Soalan itu walaupun nampak mudah, tetapi jawapannya amat banyak sekali dan boleh datang dari pelbagai sudut. Dan daripada gaya mukanya yang bersungguh-sungguh, saya tahu dia hanya inginkan satu jawapan yang benar-benar jujur.

Soalannya ialah: “Azleen, apakah masalah utama pemasaran yang biasa dihadapi oleh syarikat-syarikat startup, yang baharu ditubuhkan?

Sebelum saya menjawab soalan itu, saya bertanyakan kenapa soalan sebegini yang ditanya sedangkan dia mene­rajui sebuah agensi kerajaan dan bukannya syarikat baharu.

Dia berkata yang jawapan kepada soalan tadi amat pen­ting kepadanya untuk dimuatkan dalam perancangan bagi penjenamaan semula agensi itu dan menjadikannya berdaya maju, dinamik dan tidak kelihatan terlalu ‘kerajaan’.

Mereka mahukan imej baharu yang lebih moden. Agensi itu telah lama beroperasi, sudah lebih tiga puluh tahun dan amat dahagakan pembaharuan untuk merancakkan sema­ngat para pekerja. Di samping itu juga mereka mahu agensi kerajaan kekal relevan untuk berpuluh-puluh tahun yang akan datang.

Sehubungan itu mereka amat memerlukan inisiatif penjenamaan semula. Selepas penerangan beliau tadi, barulah saya faham.

Kemudian saya memberitahu dia tentang jawapan kepada soalannya tadi iaitu: “Hendak buatkan orang kenal jenama kita, ikut kita dan percayakan kita dalam masa yang paling singkat. Ini masalah pemasaran yang paling utama sekali untuk semua syarikat baharu, tidak kira industri apa sekali pun.”

Kemudiannya saya memberitahu, kebanyakan syarikat baharu yang ada tidak begitu mengendahkan sangat atau memandang rendah tentang perkara itu. Bagi mereka, siapkan laman web yang menarik, buatkan akaun media sosial di semua saluran yang ada, sediakan satu atau dua kenyata­an akhbar dan pelanggan akan datang dengan sendirinya.

Mereka tidak sedar bahawa apa yang mereka lakukan itu bakal menjadi kesilapan yang paling mahal yang pernah mereka lakukan. Ditambah pula sekiranya kewangan syarikat itu datangnya daripada pelabur luar dan bukannya sumber dalaman.

Sekiranya strategi pemasar­an mereka tidak menjadi, keadaan pasti kecoh kerana terpaksa menjawab kepada pelabur ke mana pembiayaan itu semua disalurkan, dan kenapa tiada hasil yang memuaskan.

Untuk mengatasi permasalahan ini, kita perlu kembali kepada asas pemasaran itu sendiri. Gunakan pendekatan strategi pemasaran yang bermula daripada titik akhir perjalanan pemasaran syarikat atau working backwards.

Kita perlu tahu siapakah sasaran pasaran kita dengan khusus. Kita perlu spesifik dalam pencarian ini kerana sekiranya terlalu umum, usaha-usaha yang bakal dibuatkan nanti akan ‘menembak’ ke semua tempat.

Ini bakal menjadikan kos pemasaran meningkat. Kemudian kita perlu tahu apakah yang bakal membuatkan mereka membeli barangan atau perkhidmatan tertentu, dan bagaimana mereka boleh mengambil keputusan tersebut.

Kita juga perlu fikirkan lagi kenapa mereka membeli de­ngan kita dan bukannya dengan orang lain yang juga mempu­nyai barangan atau perkhidmatan yang sama kuali­tinya. Setelah itu, kita juga perlukan taktik dan teknik untuk mendapatkan kepercayaan mereka terhadap jenama kita.

Untuk ini, kita perlu per­kenalkan dahulu jenama kita kepada mereka dan apakah saluran yang ada yang boleh kita gunakan. Bagi mengetahui saluran mana, kita perlu tahu di mana sasaran pelanggan kita berada.

Di manakah mereka berikan lebih perhatian dan kandu­ngan yang bagaimanakah yang mereka suka dan tidak suka. Untuk menyediakan kandu­ngan yang mereka suka, apakah elemen yang perlu wujud semasa membuat kandungan itu.

Apakah penulisan artikel, infografik ataupun video pendek merupakan kandungan yang boleh menarik perhatian mereka? Kemudian bagaimana untuk memastikan mereka melihat kandungan tersebut dan teringat tentang jenama kita.

Apakah yang boleh membuatkan mereka terfikir jenama kita dan membuatkan ia melekat ke dalam fikiran mereka.

Masalah tadi wujud kerana tiada kesabaran yang ditunjukkan oleh syarikat-syarikat baharu. Bagi mereka, kejayaan yang cepat mampu dibeli deng­an wang ringgit. Malangnya, mereka tidak sedar kesemua proses yang saya nyatakan tadi mengambil masa untuk dihasilkan dan kesabaran amat perlu untuk berjaya.

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah Pakar Pemasaran Digital. Ikuti pandangan beliau di azleen.com