Walaupun sudah banyak artikel yang ditulis di ruangan ini, sebagai panduan saya akan berikan beberapa langkah lagi yang mungkin dapat membantu para pembaca menangani masalah yang diutarakan itu.

Modal yang mencukupi

Maksud modal yang mencukupi ialah modal tunai yang berlebihan yang diagihkan untuk masa hadapan. Jumlah modal pelaburan ini agak subjektif kerana ada yang mengatakan dengan modal RM100 kita sudah boleh membeli sesuatu saham syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.

Perlu diingatkan bahawa terdapat kos-kos yang terlibat di dalam proses jual beli saham iaitu caj pembrokeran, cukai GST dan yuran scan. Sekiranya kita tidak dapat menyediakan jumlah modal yang mencukupi, ini bermakna kita belum lagi mempunyai persediaan atau persiapan untuk melabur.

Kemungkinan juga kita tidak mempunyai simpanan atau wang yang berlebihan. Pelaburan saham ini berbeza dengan dagangan forex kerana dagangan forex boleh dibuat dengan menggunakan modal yang sangat kecil.

Matlamat atau tujuan pelaburan

Dewasa ini ramai hadir ke seminar pelaburan saham sebagai trend atau ikut-ikutan lebih-lebih lagi seminar percuma. Mereka juga tidak tahu atau tidak didedahkan dengan risiko-risiko pelaburan tetapi diindahkan dengan kata-kata, beli saham terus naik dan memberikan pulangan yang lumayan.

Maka, selepas tamat seminar saham, berbondong-bondong peserta seminar membuka akaun urus niaga saham. Ada yang terus membeli saham bila akaun urus niaga telah diaktifkan kerana adanya kemudahan urus niaga dalam talian yang sangat mudah dikendalikan.

Sememangnya mereka sangat teruja dengan cerita kenaikan saham semasa di dalam seminar saham yang dihadiri, walhal dalam satu hari dagangan Bursa Malaysia terdapat beratus-ratus saham naik termasuk juga beratus-ratus yang jatuh.

Mereka sangat teruja dengan cerita-cerita daripada contoh-contoh saham yang naik sahaja tetapi tidak diceritakan tentang saham-saham yang jatuh ataupun yang dinyah senarai daripada Bursa Malaysia.

 Ilmu yang betul daripada sumber yang sahih dan dipercayai

Ramai orang mudah terpesona apabila membaca iklan-iklan tentang pelaburan saham yang untung berlipat kali ganda. Maka, sesiapa sahaja akan terpikat dengan seminar-seminar sebegini seolah-olah letak duit dan duit akan berkembang.

Dan ramai yang mencari-cari sumber yang boleh memberikan cadangan saham-saham yang bakal memberikan pulangan lumayan tanpa merujuk betul-betul maklumat yang diperoleh itu.

Faham apa yang diajar dan dapat menguasai ilmu sepenuhnya

Hadir seminar atau bengkel saham tetapi tiada kesinambu­ngan pembelajaran atau tidak membuat kajian saham kerana telah disuap dengan anggapan beli saham dan simpan maka harga saham akan terus naik.

Yang mempunyai wang berlebihan dalam pelaburan saham sudah tentu boleh menunggu harga saham naik dalam masa satu atau dua tahun, tetapi yang bermodalkan kecil ini resah gelisah menanti harga saham naik walaupun telah memegangnya selama dua minggu atau satu bulan.

Membuat keputusan sendiri

Jarang pelabur dan pedagang saham membuat keputusan sendiri. Mereka lebih gemar atau yakin mendengar cakap orang. Orang tersebut pula ada kalanya yang mereka tidak kenal atau berjumpa.

Hanya kenal di alam maya boleh memberikan mereka keyakinan untuk mengikuti saranan-saranan tentang saham tanpa membuat penyelidikan atau bertanya pendapat profesional yang bertauliah.

Sentiasa mengikuti per­kem­bangan semasa

Terdapat juga ramai pedagang dan pelabur saham yang tidak ambil kisah tentang perkembangan atau berita semasa dunia saham serta ekonomi dunia. Mereka beranggapan bahawa melabur saham seperti menyimpan duit di bank yang tidak akan merosot nilainya. Maka, setelah saham tersebut dibeli tanpa ilmu dan kajian, ianya dibiarkan begitu sahaja di dalam akaun CDS.

Membuat pembelajaran sendiri dengan membaca

Terdapat juga yang langsung tidak tahu bagaimana untuk mencari sumber pembacaan tentang saham walaupun dunia sekarang semua maklumat berada di hujung jari. Apa-apa sahaja maklumat atau pencarian boleh dicari di internet terma­suk terjemahan bahasa. Mereka masih tertanya-tanya bagaimana hendak bermula, apakah bahan bacaan yang sesuai dan sebagainya.

Sebagai rumusan, kepada sesiapa yang ingin melabur saham perlu mempunyai matlamat, prinsip serta kesungguhan dalam membuat kajian saham dan pembelajaran sendiri. Ini amat penting untuk menghindarkan diri daripada membuat kesilapan yang me­ngakibatkan kerugian dalam pe­­laburan.