Meskipun unjuran kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) dan lebih banyak pelaburan akan beralih ke negara maju tersebut, beliau berkata, PNB masih akan mengambil pendekatan bersifat oportunis terhadap perkara itu.

“Kami menjangkakan Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah dari semasa ke semasa dan ia bergantung kepada masa yang sesuai sebelum ia (kenaikan sete­rusnya) dilaksanakan.

“Daripada perspektif PNB, apa­bila kami memperuntukkan pe­laburan, kami sentiasa mempertimbangkan kepelbagaian portfolio dan struktur pendanaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Konvensyen Integriti Kebangsaan 2017 yang dianjurkan bersama Petronas dan Institut Integriti Malaysia di sini.

PNB melabur 98 peratus daripada dananya di peringkat tempatan dan baki dua peratus lagi di luar negara.

Mengenai pasaran ekuiti tempatan, Abdul Wahid berkata, FBM KLCI susut tiga peratus pada 2016 namun pada 10 bulan pertama 2017, indeks itu meningkat 6.5 peratus dan mendorong PNB menambah permodalan pasarannya dalam syarikat strategik sebanyak 13 peratus.

Bagi pertumbuhan pendapatan, beliau berkata, ia akan di­umumkan pada 22 Disember ini dan enggan mengulas lanjut.

Berkenaan pengukuhan inte­g­­riti dalam tadbir urus korporat, beliau berkata, kepimpinan utama perlu menjadi contoh teladan dan ia perlu diterajui oleh pengerusi, lembaga pengarah, ketua pegawai eksekutif dan disokong pihak pengurusan.

Beliau berkata, terdapat tiga prasyarat asas yang perlu dipegang mana-mana ketua untuk berjaya iaitu integriti yang tidak boleh dipersoalkan, kompetensi yang tepat dan kerendahan hati.

“Integriti adalah melakukan perkara yang betul walaupun ketika tiada sesiapa yang melihat, kompetensi pula merujuk kepada memiliki kemahiran dan pengetahuan tepat untuk menghasilkan kerja yang baik, manakala rendah hati adalah keperluan menghormati pihak lain dengan saling hormati-menghormati serta berkhidmat demi semua pihak daripada kepentingan sendiri,” katanya.

Abdul Wahid juga berkata, seiring dengan Malaysia yang melangkah maju, penting untuk masyarakat menghapuskan amalan rasuah.

Beliau memuji usaha pencegahan rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan 939 individu ditahan pada 2016, meningkat 11.7 peratus berbanding 2015.

Pada 10 bulan pertama tahun ini, sebanyak 785 individu ditahan, oleh itu, masyarakat perlu terus memberi sokongan supaya SPRM dapat menjalankan tugas mereka tanpa memihak dan bimbang, katanya.

Abdul Wahid berkata, Malaysia masih mengalami persepsi buruk apabila turun kepada kedudukan ke-55 dalam Indeks Persepsi Rasuah 2016 oleh Transpa­rency International.

Beliau berharap usaha pencegahan rasuah yang berterusan dan tindakan tanpa toleransi oleh SPRM ke atas korupsi akan mening­katkan kedudukan Malaysia dari semasa ke semasa. – BERNAMA