Syed Faisal Albar
Syed Faisal Albar

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar berkata, ini kerana tanpa penyertaan rakan strategik itu, terdapat peluang yang tinggi berlaku pembuangan pekerja kerana Proton tidak mampu menanggung kos yang tinggi.

“Saya meminta rakyat Malaysia melihat wujudnya pertumbuhan untuk masa depan Proton dan tanpa rakan strategik ini, bagaimana kita mahu melabur dalam kilang Proton yang beroperasi di Tanjung Malim dan dalam masa sama berupaya menjual jenama Proton dengan lebih luas di peringkat global. Mungkin juga dengan peluang pertumbuhan ini yang diraih menerusi rakan strategik, kita akan memerlukan jumlah pekerja yang ramai.

“Malah, kita juga yakin Proton akan kembali mencatat keuntungan dalam masa terdekat berdasarkan kepada keupayaan yang ada pada Geely. Keyakinan ini berasas kerana kita tidak perlu lagi bimbang dengan Lotus dan kita mempunyai tanah yang berpotensi untuk dibangunkan. Kesemua faktor ini membolehkan aliran tunai DRB-Hicom lebih positif,” katanya selepas DRB-Hicom dan Geely memeterai perjanjian dasar di sini hari ini.

Perjanjian itu disaksikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. Yang turut hadir Pengarah Kumpulan Perancangan Strategi Korporat dan Pembangunan Perniagaan DRB Hicom, Datuk Khalid Abdol Rahman; Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Geely, Daniel Li dan Pengarah Kanan Geely, Victor Yang.

Sementara itu, Johari berkata, kerajaan akan membuat pembayaran balik sebanyak RM1.1 bilion kepada Proton Holdings Berhad (Proton) sebagai geran perbelanjaan yang telah digunakan untuk menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Beliau berkata, bagaimanapun, tiada sebarang subsidi akan diberikan kepada syarikat pengeluar kereta nasional itu yang setakat ini telah membelanjakan sebanyak RM3.5 bilion untuk menjalankan aktiviti R&D dengan RM1.5 bilion diberikan oleh kerajaan pada tahun lalu.

“Sebagai kereta nasional, kerajaan akan terus menyokong dan membantu Proton selagi yang kami mampu. Tetapi dalam masa sama, tidak salah jika mempunyai rakan sekutu dan kerjasama. Ini kerana dalam industri automotif, ia adalah perkara yang biasa.

“Kita ambil contoh kerjasama TATA dengan Land Rover dan Jaguar, kerjasama BMW dengan Mini dan Rolls Royce dan Renault manakala Nissan dan Mitsubishi, kesemuanya dalam kerjasama yang besar.

“Jadi, dengan rakan kerjasama strategik ini, sudah tentu membolehkan Proton meraih keyakinan pelanggan, akses kepada teknologi terkini, mencapai skala ekonomi yang tinggi dan keupayaan untuk pasaran yang lebih luas,” katanya.

Menurut Johari, sepanjang proses bidaan itu berlaku, ia menyaksikan penglibatan 15 pemain automotif global sebelum disenarai pendekkan kepada lapan dan kemudiannya kepada tiga sahaja.

“Saya yakin dengan pelan perniagaan strategik melibatkan kedua-dua pihak berkenaan, Proton bukan sahaja boleh mencipta semula zaman kegemilangannya tetapi muncul sebagai pemain automotif yang dikagumi di Malaysia, rantau ASEAN dan juga peringkat antarabangsa,” kata­nya.