Beliau berkata, pesawat pertama membawa jemaah ke tanah suci Mekah itu yang terdiri daripada rakyat Malaysia dan dari seluruh dunia dijangka tersedia bagi jemaah yang mengerjakan umrah pada Di­sember 2018 dan Januari 2019.

“Kami akan dapat membawa enam pesawat dan ia telah disesuaikan dengan penyediaan ruang solat, tempat wuduk bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada jemaah dalam perjalan­an mereka ke Arab Saudi bagi mengerjakan ibadah,” katanya semasa sesi wawancara dalam program perniagaan baharu rancang­an bual bicara BNC Biz Talk.

Program selama 30 minit itu yang dihoskan oleh Mikhail dan Masrenny Masri, disiarkan setiap Jumaat pukul 8.30 malam di saluran CH502 Astro, Hyppy TV, MYTV dan boleh dilayari di www.bernama.com.

Bellew yang meng­ambil alih jawatan CEO MAS pada 1 Julai 2016 berkata, bagi syarikat penerba­ngan haji baharu itu, yang juga dikenali sebagai Project Hope, MAS akan mengubah suai enam pesawat Airbus A380 bagi pakej haji/umrah.

“Kos juga akan dikekalkan kerana kami akan mempunyai pesawat besar dengan bilangan tempat duduk yang menjimatkan,” katanya.

Beliau berkata, MAS menggunakan pesawat A380 ke Arab Saudi bagi jemaah yang mengerjakan haji/umrah dan ia sangat berjaya.

“Ketika ini, kami menyediakan hanya di bawah 500 tempat duduk dan ia boleh dipasang lebih 600 tempat duduk dan itulah yang kami rancang lakukan pada 2018. Kami akan menggantikan tempat duduk dan memasang set baharu, menambah tempat duduk tambahan.

“Dan juga bagi pihak berkuasa di Arab Saudi, ia akan memberikan penggunaan slot pendaratan lapangan terbang yang lebih baik. Jadi kami akan dapat menguruskan ramai orang dari Malaysia dan negara-negara lain di dunia untuk mengerjakan haji dan umrah dan mengurangkan kos.

“MAS akan menawarkan pener­bangan mengerjakan haji/umrah kepada penumpang dari seluruh dunia. Ia akan diuruskan oleh orang Malaysia dan dikendalikan oleh jurutera Malaysia. Kami menerima minat awal yang baik, saya rasa ia akan menjadi penggunaan pesawat yang lebih baik dan akan mencapai kejayaan,” katanya.

Bellew berkata, enam pesawat itu akan dipasang semula pada pertengahan 2018 dan pesawat pertama dijangka dapat disediakan bagi perjalan­an mengerjakan umrah pada Disember 2018 dan Januari 2019.

“Apa yang agak menarik bagi Malaysia adalah ia akan mewujudkan kira-kira 600 hingga 700 peluang pekerjaan baharu bagi rakyat Malaysia untuk bekerja dengan syarikat penerbangan baharu ini kerana kami memerlukan juruterbang, anak kapal dan jurutera baharu dan mewujudkan peluang sampingan di negara ini,” katanya.

Ditanya mengapa perlu menyediakan syarikat penerbangan khusus bagi penerbangan sedemikian, Bellew berkata: “Di seluruh dunia sekarang, banyak orang yang mengerjakan haji dan umrah menaiki penerbangan dengan pesawat yang berusia 15 hingga 20 tahun.”

Beliau berkata, pihak berkuasa Arab Saudi gembira melihat Malaysia Airlines menyediakan pesawat baharu A380 yang boleh mengangkut ramai orang de­ngan selesa pada kos yang rendah dan memanfaatkan de­ng­an baik kemudahan di Arab Saudi.

Menurut Bellew, MAS juga berharap dapat mengumumkan tidak lama lagi kakitangan kanan yang akan mengendalikan syarikat pe­nerbangan baharu itu dan mereka masih mencari calon CEO.

Ditanya sama ada syarikat pe­nerbangan baharu itu akan menjadi anak syarikat milik penuh, beliau berkata, akan ada pemegang kepentingan lain dan mereka juga menerima minat tinggi daripada peringkat antarabangsa.

“Banyak persediaan yang dibuat bagi haji dan umrah ketika ini oleh banyak syarikat penerbangan berbeza, sebahagiannya beroperasi menggunakan pesawat yang telah berusia. Jadi, kami percaya ini akan menjadi satu penggunaan hebat, kami sedang bekerjasama rapat dengan Airbus. – BERNAMA