Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, MAS telah memberi kelulusan semalam, untuk pemerbadanan tempatan perniagaan Perkhidmatan Kewangan Komuniti di Singapura.

Katanya, pemerbadanan tempatan itu menandakan komitmen lebih mendalam Maybank kepada pelanggan dan komuniti di Singapura yang merupakan sebahagian daripada strategi keseluruhan Maybank untuk mempercepatkan rancangan pertumbuhan dan perniagaan di Singapura.

“Kami telah beroperasi di Si­nga­pura sejak 1960 bermula dengan perbankan runcit dan telah berkembang menjadi sebuah bank yang lengkap pada hari ini.

“Maybank yang beroperasi di semua 10 negara ASEAN menghargai Singapura sebagai satu daripada tiga pasaran utama kami,” katanya dalam kenyata­an di sini hari ini.

Tertakluk kepada kelulusan dari Mahkamah Tinggi Singapura, operasi Maybank Singapura akan memindahkan perniagaan Perkhidmatan Kewangan Komunitinya iaitu Bahagian Runcit (perbankan peribadi, kekayaan istimewa, kekayaan utama), Kekayaan Peribadi, Perusahaan Kecil Sederhana Runcit, Perbankan Perusahaan Runcit Kecil Sederhana dan Perbankan Komersial menerusi satu skim pindahan ke MSL bermula 5 November 2018.

MSL akan beroperasi sebagai anak syarikat kumpulan Maybank dengan keupayaan Unit Mata Wang Asia di Singapura.

Pelanggan MSL akan menikmati kualiti produk dan perkhidmatan yang sama dan mempunyai akses kepada perkhid­matan perbankan di 27 lokasi perkhidmatan termasuk 20 cawangan di seluruh Si­ngapura serta lebih 3,800 mesin pengelua­ran automatik (ATM) Maybank.

Maybank akan terus mengendalikan perniagaan korporat dan institusi menerusi segmen Perbankan Global seperti pinjaman dan pembiayaan, pembiayaan perdagangan, deposit, akaun operasi syarikat, kiriman wang, pasaran global secara berasingan untuk pelanggan korporat.