Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, belum pernah dalam mana-mana bajet sebelum ini MARA menerima peruntukan sebesar itu yang dijangka dimanfaatkan hampir 90,000 pelajar.

“Paling tinggi MARA pernah dapat (terima peruntukan) sebelum ini adalah sebanyak RM2 bilion.

“Peruntukkan ini adalah bagi membiayai biasiswa dan program latihan bermula dari peringkat diploma sehingga ijazah doktor falsafah,” katanya dalam sidang akhbar khas Bajet 2018 di sini hari ini.

Beliau memaklumkan bahawa Bajet 2018 juga memperuntukkan sebanyak RM200 juta untuk program Graduate Employability Training Scheme (GETS) di bawah MARA menerusi Dasar Transformasi Kesejahteraan Bumiputera.

Katanya Bajet 2018 turut memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk penyelenggaraan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Menurut Ismail Sabri, pemba­ngunan modal insan dan pendidikan adalah penting untuk masa depan negara.

Katanya adalah menjadi tanggungjawab kerajaan menyediakan peruntukan yang besar kepada bidang pendidikan demi melahirkan lebih banyak modal insan.

“Usaha kementerian bukan hanya untuk membangunkan kawasan luar bandar tetapi fokus lain kita ialah mengungguli pembangunan pendidikan, latihan dan kemahiran.

“Diharapkan peruntukan bidang pendidikan melalui MARA dapat dimanfaatkan sebaik mungkin ke arah menjamin masa depan tanah air tercinta,” katanya.