Dr. Mohd Hatta Ramli

Timbalan Menteri KPU, Dr. Mohd. Hatta Ramli berkata, per­kara tersebut kini dalam per­binca­ngan di antara Menteri Pem­ba­ngunan Usahawan, Mohd. Red­zuan Md. Yusof dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Katanya, Mara yang ketika ini di bawah Kementerian Pemba­ngunan Luar Bandar diakui sebagai sebuah institusi besar dan memainkan peranan penting me­liputi pelbagai bidang bukan sahaja keusahawanan.

Jelas beliau, keputusan akhir akan bergantung kepada Dr. Mahathir, pihaknya juga sedang menunggu peruntukan dana bagi memulakan operasi kementerian baharu tersebut.

“KPU sedang berbincang de­ngan Dr. Mahathir mengenai cadangan mengambil alih beberapa jabatan kerajaan, agensi dan badan berkanun yang berkaitan dengan pembangunan usahawan.

“Selain Mara, antara agensi lain dilihat sesuai seperti Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia dan SME Corp.,” katanya kepada pemberita selepas sesi dialog de­ngan Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) di sini hari ini.

Sepanjang sesi dialog berlangsung selama hampir dua jam itu, Mohd. Hatta mendengar beberapa rungutan dan isu-isu dibangkitkan oleh MRCA termasuk cabaran dalam menggaji buruh asing dan isu gaji minimum.

Pengurus Besar MRCA, Simon Wong berkata, cadangan kerajaan Pakatan Harapan untuk menaikkan gaji minimum bulanan daripada RM1,000 hingga RM1,500 boleh memberi kesan negatif ke atas ahli MRCA, sebahagian besarnya usahawan kecil dan sederhana dan peniaga.

“Satu kajian yang teliti diperlukan untuk menyelaraskan semula hak pekerja dan kos menjalankan perniagaan yang memberi kesan kepada perniagaan dan MRCA akan memantau perkembangan isu ini.

“Dalam menggaji pekerja asing, MRCA menggesa kerajaan untuk memperkenalkan garis panduan yang betul dalam menyediakan bekalan buruh mencukupi untuk menyokong operasi sedia ada dan pelan pengembangan perniagaan runcit masa depan,” katanya.