Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Reh­da), Wong Kok Loon berkata, penganjuran kali ini melibatkan sebanyak 20 pemaju hartanah dari seluruh negara termasuk Bahagian Perumahan Setiausaha Kerajaan Nege­ri yang menawarkan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang.

“Pameran ini menawarkan hartanah perumahan dan komersial bernilai antara RM150,000 hingga RM3.8 juta sebuah.

“Lebih 20 gerai jualan dan pameran ditempatkan di ruang legar sebuah pusat beli-belah bagi membolehkan orang ramai membuat pilihan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Kok Loon, unit hartanah yang ditawarkan meliputi kediaman pelbagai jenis termasuk teres, kembar, bertingkat, kondominium, rumah kedai, pejabat dan lot komersial.

“Tujuan ekspo ini diadakan ialah untuk memudahkan orang ramai membuat pilihan dan merujuk tentang maklumat perumahan yang ditawarkan di negeri ini.

“Daripada jumlah hartanah ditawarkan sepanjang ekspo ini, sebanyak 2,026 buah terletak di Pahang, 230 di Terengganu dan 15 di Kuala Lumpur,” katanya.

Tambahnya, Mapex adalah satu platform terbaik untuk orang ramai bertemu pemaju, pembiaya kewangan dan pakar hartanah dengan pelbagai hartanah kediaman dan ko­mersil ditawarkan di bawah satu bumbung.

“Kami yakin orang ramai akan bertumpu ke pameran ini kerana pelbagai jenis rumah dan lot komersial ditawarkan berdasarkan kemampuan pembeli,” katanya.