Timbalan Pengarah Urusan Mammam Deliveries, Ezaruddin Abd. Rahman berkata, pihaknya masih dalam proses mencari rakan strategik bagi meneroka pasaran ASEAN dan sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pelabur dari Indonesia dan Thailand.

Menurutnya, pasaran luas dan permintaan tinggi bagi penghantaran makanan di kedua-dua negara berkenaan merupakan faktor utama yang mendorong Mammam Deliveries untuk mengorak langkah melebarkan sayap perniagaan ke ASEAN.

“Kami masih berbincang dan memilih rakan strategik sesuai yang boleh membantu kami mengukuhkan perniagaan di sana kerana selain mempromosikan Mammam Deliveries sebagai sebuah syarikat penghantaran makanan, kami juga mahu mempromosi makanan Malaysia ke negara luar.

“Kami optimis makanan Malaysia sememangnya berpotensi besar untuk diketengahkan di pasaran antarabangsa walaupun hanya melalui pendekatan penghantaran makanan.

“Hal ini kerana penghantaran makanan semakin mendapat permintaan tinggi disebabkan perkembangan teknologi yang semakin canggih sekali gus membuatkan kami yakin Mammam Deliveries boleh terus berkembang pesat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mammam Deliveries yang ditubuhkan pada tahun 2015 merupakan syarikat penghantaran makanan yang menyediakan lebih daripada 60 menu merangkumi pelbagai makanan citarasa tempatan dan antarabangsa seperti nasi lemak rendang daging, mi goreng mamak, nasi lemak goreng, ayam masak lemak cili api, kari ayam India, nasi goreng tom yam, kari ayam hijau dan kerabu mangga ayam Thai.

Syarikat berkenaan yang mempunyai kira-kira 70 orang pekerja termasuk penghantar makanan itu turut menyediakan pelbagai menu sihat seperti salad dan mempunyai sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ezaruddin berkata, Mammam Deliveries juga sedang mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat penerbangan bagi menyediakan makanan dalam penerbangan kepada penumpang syarikat tersebut.

“Jika semuanya berjalan lancar, Mammam Deliveries akan menyediakan menu yang sedikit berbeza berbanding dengan apa yang telah ditawarkan syarikat penerbangan tersebut ketika ini,” tambahnya.

Jelas Ezaruddin, selain mengendalikan perniagaan penghantaran makanan, Mammam Deliveries juga menyediakan perkhidmatan katering dan kafe yang juga bertindak sebagai dapur satelit.

“Kami merancang untuk membuka empat lagi kafe tahun hadapan dengan kos kira-kira RM1.6 juta dengan lokasinya adalah di luar Lembah Klang.

“Namun begitu, fokus kami ketika ini adalah untuk mengukuhkan jenama Mammam Deliveries dalam kalangan rakyat tempatan supaya mereka dapat menikmati keenakan masakan tempatan tanpa perlu bersusah payah dengan harga yang berpatutan,” ujar beliau.