Pengurus Hal Ehwal Islam dan Hubungan Kerajaan Mamee, Ahmad Syukry Ibrahim berkata, objektif kempen tersebut adalah untuk membela nasib masyarakat di samping berkongsi keceriaan menerusi penampilan istimewa maskot-maskot Mamee seperti Mamee Monster dan Mister Potato.

Menurutnya, aktiviti terbaharu kempen berkenaan adalah di Akademi IDEAS yang menempatkan kanak-kanak pelarian, tiada kerakyatan dan dokumen yang sah serta tidak mempunyai akses secara langsung kepada sistem pendidikan negara.

“Pusat ini memiliki hampir 150 orang pelajar dan dijangka bertambah kerana ramai yang berada dalam senarai menunggu.

“IDEAS merupakan sebuah institusi yang percaya bahawa pendidikan adalah untuk semua tanpa mengira latar belakang, bangsa dan ekonomi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ahmad Syukry, Mamee berkongsi pandangan yang sama seperti IDEAS kerana ia penting dalam melahirkan generasi masa hadapan yang bertanggungjawab, berkeyakinan dan penyayang.

“Mamee berharap dengan kempen Mamee Prihatin ini dapat meringankan beban dan membantu mencapai Akademi IDEAS mencapai matlamat utamanya.

“Pada masa sama ia akan membuka mata masyarakat untuk bersama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka,” ujarnya.