Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, R. M. Chandran berkata, Tawau merupakan destinasi kedua Malindo Air di Sabah selepas Kota Kinabalu.

Kata beliau, pihaknya memiliki lima penerbangan terus ke Kuching, Singapura, Taipei, Wuhan, ChongQing dari Kota Kinabalu selain lima perjalanan sehari ke Kuala Lumpur yang

R. M. CHANDRAN
R. M. CHANDRAN 

menghubungkan pelanggan de­ngan rangkaian laluan di rantau ASEAN sehingga Australia.

“Kami menjangkakan tetamu yang melakukan perjalanan adalah untuk tujuan perniagaan, melawat keluarga dan kenalan serta bercuti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Penerbangan ke Tawau menggunakan pesawat Boeing 737-800 terdiri daripada 12 tempat duduk kelas perniagaan dan 150 tempat duduk kelas ekonomi.

Sementara itu, menurut pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin, pihaknya menyokong usaha Malindo Air untuk menawarkan laluan baharu dari Kota Kinabalu ke Tawau.

Tambah Raja Azmi, langkah itu juga selari dengan kempen Tahun Melawat Tawau 2018/2019 dan percaya ia akan memacu lebih ramai pelawat domestik untuk bercuti ke Tawau.

Katanya lagi, Lapangan Terbang Tawau mencatatkan 1.3 juta penumpang setakat Oktober lalu iaitu peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding tahun sebelumnya bagi laluan domestik dan antarabangsa.

“Kami percaya langkah strategik ini akan membawa le­bih ramai pelancong, merancakkan sektor pelan­congan dan memberi manfaat eko­nomi kepada Sabah,” ujarnya.

Malindo Air menawarkan harga tambang promosi untuk laluan Kota Kinabalu-Tawau iaitu RM99 sehala untuk kelas ekonomi dan RM399 untuk kelas perniagaan.