Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, R. M. Chandran berkata, pe­ngenalan itu selari de­ngan usaha berterusan syarikat untuk mening­katkan jumlah laluan penerbangan serantau.

Menurutnya, pe­ner­bangan OD1900 dari Kuala Lumpur ke Labuan akan mula beroperasi pada 2 Ogos dan dijadualkan berlepas dari Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 12.30 tengah hari dan tiba di Labuan pada pukul 3 petang.

“Penerbangan OD1901 pula akan berlepas dari Labuan pada pukul 3.45 petang dan tiba di KLIA pada pukul 6.15 petang. Harga tambang bagi kelas ekonomi bermula daripada RM229 manakala RM449 untuk kelas perniagaan.

“Sementara itu, perkhidmatan dari Kota Kinabalu ke Singapura akan bermula pada 10 Ogos dan akan berlepas dari Lapangan Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada pukul 9.15 pagi sementara dari Lapangan Terbang Changi pada pukul 12.40 tengah hari. Harga tambang promosi bermula daripada RM249 bagi kelas ekonomi dan RM599 untuk kelas perniagaan,” kata­nya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Chandran, laluan baharu itu sangat popular kepada tetamu yang membuat perjalanan untuk bercuti dan menjalankan perniagaan.

Katanya, Malindo Air menyediakan pilihan premium kepada pasaran selain menggalakkan le­bih banyak kedatangan pelancong untuk melawat Malaysia.

“Tambang promosi yang kami tawarkan termasuk muatan beg seberat 25 kilogram (kg) bagi kelas ekonomi dan 40kg untuk kelas perniagaan, hidangan dalam penerbangan dan ruang kaki yang selesa.

“Laluan baharu ini menggunakan pesawat Boeing 737NG yang terdiri daripada 12 tempat duduk kelas perniagaan dan 150 tempat duduk kelas ekonomi,” jelasnya.

Orang ramai boleh mendapatkan tambang promosi laluan baharu di laman web Malindo Air, pejabat tiket, pusat khidmat pelanggan dan ejen pelancongan terpilih.