Menurut Pengarah Jabatan Pengawalan Perniagaan Perkhidmatan Wang Bank Negara Malaysia (BNM), Nik Mohamed Din Nik Musa, setakat akhir tahun lepas ia berkurangan kepada 2.96 peratus berbanding 12 peratus pada 2006.

Katanya, bank pusat melaksanakan pelbagai strategi dalam mencapai sasaran itu terutama pasaran kewangan mengalami transformasi menerusi Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (MSBA 2011) untuk menguruskan pengiriman wang, tukaran wang dan perniagaan pemborong mata wang.

“Banyak penambahbaikan yang kita lihat sejak pengenalan akta ini, antaranya, memperkukuhkan landskap industri dengan meningkatkan daya maju pemain industri, meningkatkan migrasi daripada saluran penghantaran wang tidak formal kepada yang lebih formal.

“Di bawah akta itu, ia juga menyaksikan 344 penyedia perkhidmatan wang berlesen ketika ini termasuk 34 adalah yang menyediakan perkhidmatan penghantaran wang dan selebihnya adalah tukaran wang dan pemborong mata wang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Forum Global Penghantaran Wang, Pelaburan dan Pembangunan 2018 Asia Pasifik di sini baru-baru ini. Yang turut hadir, Timbalan Gabenor BNM, Jessica Chew Cheng Lian.

Sasaran yang ditetapkan di bawah Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) oleh PBB ialah tiga peratus menjelang 2030.

Menurut Nik Mohamed, pada tahun lalu, Malaysia mencatat kiriman penghantaran wang berjumlah RM32.9 bilion berbanding RM34.2 bilion.

“Setakat 2017, jumlah ejen, cawangan dan ibu pejabat bagi perkhidmatan wang di seluruh negara adalah sebanyak 2,979 berbanding 1,604 pada 2012. Penyedia perkhidmatan yang boleh melaksanakan e-penghantaran wang pada 2017 pula ialah 17 berbanding empat pada 2012,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dalam sesi panel berkata, kumpulan memperuntukkan pelaburan yang besar dalam tempoh dua atau tiga tahun lalu bagi melaksanakan transformasi digital dan percaya ia mempunyai potensi besar yang boleh diterokai dalam usaha mengurangkan kos.

“Kami sentiasa mencari peluang dan bagaimana untuk meraih manfaat daripada perkhidmatan wang, dan satu daripadanya adalah menerusi penghantaran wang,” katanya.