Berdasarkan kaji selidik oleh Jobstreet.com, lebih separuh atau 58 peratus daripada sebanyak 10,143 responden menyatakan neutral dan gembira de­ngan tugas harian di tempat kerja mereka.

Pengurus Negara Jobstreet Malaysia, Chook Yuh Yng berkata, pekerja di Malaysia menggariskan tiga faktor utama yang mempengaruhi tahap kegembiraan iaitu lokasi pejabat, rakan sekerja dan reputasi syarikat.

“Kaji selidik ini mendapati pekerja di Malaysia yang be­kerja dalam perkhidmatan awam, makanan dan minuman serta industri perubatan adalah mereka yang paling gembira dengan kerja ma­sing-masing.

“Lebih khusus, pekerja paling gembira adalah pakar dalam jualan (telejualan dan telepemasaran), kejuruteraan (elektrik dan sivil) dan penjagaan kesihatan (jururawat dan pembantu perubatan),” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Yuh Yng berkata, sebaliknya, tiga faktor utama yang menyumbang kepada perasaan tidak gembira bagi responden pula adalah kepemimpinan yang lemah, kekurangan pembangunan kerjaya dan peluang latihan.

“Kami melihat pembangunan kerjaya dan peluang latihan adalah bidang utama yang tidak boleh diabaikan selepas trend sama diperhatikan dalam laporan 10 syarikat terbaik oleh Jobstreet tahun lalu.

“Oleh itu, kami faham bahawa para pekerja di Malaysia merasa kecewa dan tidak berpuas hati dengan tempat kerja mereka jika kedua-dua bidang utama ini kurang diberikan perhatian oleh syarikat,” katanya.

Mengulas lanjut berkenaan faktor utama perasaan tidak gembira tersebut katanya, satu daripada tiga atau 29 peratus responden mahukan lebih ganjaran, sebahagian besarnya melibatkan kenaikan gaji.

Selain itu jelasnya, tujuh peratus daripada responden turut mengatakan bahawa lebih pengiktirafan daripada syarikat akan membantu me­ningkatkan tahap kegembiraan mereka di tem­pat kerja.

Katanya lagi, 27 peratus pekerja di Malaysia mempertimbangkan untuk meninggalkan pekerjaan mereka sekarang untuk mencari peluang baharu dalam mengejar lebih banyak kegembiraan di tempat kerja.

“Kami percaya bahawa majikan dengan amalan kepemimpinan terbaik serta tawaran ganjaran menarik mampu memberikan perbezaan kritikal dalam memotivasi dan memacu kegembiraan pekerja di Malaysia.

“Untuk menanam keyakinan dan kepimpinan syarikat, majikan harus mempraktikkan ke­telusan dalam komunikasi dan pada masa sama meng­adakan program untuk mening­katkan kemahiran dan bakat,” katanya.

Kaji seli­dik itu mendapati pekerja di Indonesia sebagai pa­ling gembira de­ngan indeks skor 5.27 mata, diikuti Vietnam (5.19), Filipina (4.97), sementara tempat kelima Thailand (4.55), keenam Hong Kong (4.45) dan ketujuh Singapura (4.31).