Michael O'Reilly

Ketua Pegawai Eksekutif Harness Energy, Michael O’Reilly berkata, Malaysia sebagai sebuah negara yang semakin membangun serta berkembang maju, mempunyai potensi yang dinamik dan luas dalam sektor O&G huluan.

Menurut beliau, dengan pengalaman dan kejayaan yang dicapai oleh syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), ia membuktikan kemampuan negara ini untuk menjadi hab khusus bagi segmen huluan.

“Seiring dengan langkah membuka pejabat baharu di negara ini, Harness Energy akan me­labur AS$1.5 juta (RM6.39 juta)sehingga pertengahan tahun depan untuk membina keupayaan, terma­suk membawa masuk AS$1 juta (RM4.26 juta) kerusi penggerudian simulator.

“Perkara ini merupakan landasan yang terbaik kerana akan memberikan lonjakan terhadap pertumbuhan ekonomi negara di samping menarik minat pelabur-pelabur luar ataupun yang sedia ada dalam industri O&G,” katanya dalam sidang akhbar pelancaran pembukaan ibu pejabat Harness Energy di Menara Etiqa di sini hari ini.

Tambah O’Reilly, menjelang akhir tahun hadapan, pihaknya menjangkakan sebanyak 20 peratus kehadiran untuk latihan itu adalah daripada pelabur-pelabur serta profesional industri luar negara.

Beliau berkata selain simulator, syarikat itu juga akan me­labur sebanyak AS$200,000 (RM852,580.33) dalam melatih tenaga pengajar tempatan sejajar dengan misinya untuk melengkapkan operasi dengan profesional dan tenaga mahir tempatan.

Ibu pejabat Harness Energy boleh memuatkan seramai 24 pelajar seminggu dan merancang untuk didaftarkan dengan OPITO, badan piawaian antarabangsa dalam kemahiran bidang O&G pada November tahun ini.

Harness Energy mula menembusi pasaran Australia bermula pada tahun 2005 dengan matlamat untuk membekalkan tenaga profesional industri dalam memberikan perkhidmatan yang berkesan kepada semua pelanggan mereka.

Mengulas mengenai industri O&G yang semakin tidak menentu itu, O’Reilly berkata, pihaknya masih yakin bahawa industri tidak akan berkompromi dalam perlaksanaan latihan walaupun berlaku kelembapan dalam industri.