Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, perkhidmatan MRO yang meraih permintaan tinggi dalam kalangan syarikat penerbangan sekali gus berjaya menjana pendapatan RM5.7 bilion kepada negara pada tahun 2016.

“Sehubungan itu, kerajaan meletakkan MRO sebagai satu daripada projek permulaan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) bagi melonjakkan ekonomi negara.

“Dengan kemampuan pembangunan MRO tempatan, ia menggalakkan syarikat penerbangan di negara ini menggunakan perkhidmatan tersebut dan kerajaan sentiasa menyokong segala usaha untuk mengembangkan pasaran ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pembukaan Hangar Kedua Sepang Aircraft Engineering (SAE) di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif SAE Sdn. Bhd., Pierre Reville.

Menurut Ka Chuan, pembukaan hangar kedua SAE merupakan bukti pengembangan industri MRO tempatan yang dilihat berupaya menawarkan lebih banyak perkhidmatan penyelenggaraan pesawat.

Pada masa sama, beliau mengulangi pendirian kerajaan bagi menjadikan Malaysia sebagai negara peneraju industri aeroangkasa di rantau Asia Tenggara menjelang 2030.

Katanya, usaha murni tersebut sekali gus berupaya mampu mewujudkan 32,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan berupaya menyumbang pendapatan negara sebanyak RM55.2 bilion setahun.

“Walaupun dunia berhadapan ketidaktentuan ekonomi, tetapi cabang aeroangkasa terus bertambah kukuh apabila pada tahun lalu, industri itu menjana RM12.7 bilion kepada negara.

“Industri penerbangan di Asia termasuk Malaysia mempunyai potensi besar dengan dijangka menjelang 2035, 50 peratus jumlah trafik udara global disumbangkan oleh benua itu,” katanya.