Pengurus Besar FinTech SuperCharger (SuperCharger) di Malaysia, Johnny Mayo berkata, Malaysia memiliki daya tarikan kepada syarikat antarabangsa untuk melabur dalam industri ini bersandarkan kepada pelbagai faktor termasuk sumber tenaga kerja berkemahiran.

“Terdapat ramai yang berkemahiran khususnya di bidang teknikal untuk terlibat sama mengembangkan sistem teknologi kewangan di Malaysia malah, keupayaan mereka berinteraksi dalam bahasa antarabangsa memudahkan lagi urusan dengan syarikat.

“Meneliti kepada kos pembangunan teknologi, Malaysia dilihat jauh lebih murah jika dibandingkan dengan pasaran lain khususnya Singapura dan Hong Kong justeru, ia dapat menarik minat kepada pelaburan syarikat antarabangsa,” ujarnya.

SuperCharger merupakan syarikat akselerator Fintech berpengkalan di Hong Kong yang bertanggungjawab dalam menjalankan program bagi membantu syarikat startup untuk menceburi industri Fintech.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Hari Inovasi Insurans yang dianjurkan oleh Kumpulan Allianz di Menara 2 Asia Square, Marina View di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Serantau, Kumpulan Allianz, George Sartorel serta Ketua Inovasi dan Usahasama Digital, Allianz General Insurance Company (Malaysia) Bhd., Michael Fong.

Menurut Mayo, industri Fintech di Malaysia kini lebih berkembang dan terbuka selepas pelbagai initiatif dan polisi yang diperkenalkan oleh kerajaan menjurus kepada agenda untuk membangunkan Fintech.

“Pelbagai organisasi termasuk Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) telah memperkenalkan pelbagai inititiatif selain turut disokong oleh hala tuju Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti dalam industri ini.

“Bagaimanapun, meskipun Malaysia menunjukkan perkembangan yang positif dalam bidang ini, sebenarnya agak sukar untuk bersaing dengan negara kuasa besar ekonomi seperti Hong Kong dan Singapura,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fong berkata, Kumpulan Allianz akan menyokong mana-mana syarikat startup yang ingin menceburi industri Fintech dengan menjalinkan kerjasama khususnya dalam segmen pembayaran digital.

“Ia berbentuk usahasama perkhidmatan dan kita akan memberi fokus kepada perniagaan yang berasaskan aplikasi e-dompet dan perkhidmatan mobiliti.

“Kita melihat perkhidmatan seperti ini merupakan trend semasa dan mampu berkembang dengan lebih positif pada masa hadapan berbanding perniagaan lain,” jelasnya.

Kumpulan Allianz menerusi uMalaysia berpotensi jadi hab sistem teknologi kewangan Asia Pasifiknit pelaburan digitalnya, Allianz X sebelum ini membuat pelaburan bernilai AS$35 juta (RM146.78 juta) dalam perkhidmatan GoJek di Indonesia. - UTUSAN ONLINE