Menurut laporan Reuters, syarikat penerbangan itu berkata, ia telah memulakan proses usaha wajar untuk memastikan operasi masa depan Boeing 737 MAX susulan insiden baru-baru ini.

 

Katanya, Malaysia Airlines sedang mengkaji semula kese­luruhan program bagi pesawat 737 MAX.

Julai tahun lalu syarikat tersebut dilaporkan sedang mendapatkan pinjaman bank bagi membeli sembilan buah pesawat Boeing 737 MAX yang akan menjadi pembiayaan pertama syarikat penerbangan itu sejak melaksana­kan penstrukturan semula lebih tiga tahun lalu, menurut sumber yang tidak asing dengan perkara tersebut.

Pembiayaan itu merupakan ujian utama bagi syarikat pe­ner­bangan berkenaan yang telah diambil alih oleh Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) pada Disember 2014, beberapa bulan selepas peristiwa kehilangan MH370 dan MH17 ditembak jatuh di Ukraine.

Sumber daripada industri kewangan yang enggan dikenali berkata, bank-bank di Malaysia, Eropah dan China dijangka bersaing untuk membiayai pembelian pesawat terbabit selepas Malaysia Airlines menghantar permintaan untuk cadangan beberapa ming­gu lalu.

Semua pesawat tersebut dinilai dengan harga sekitar AS$1 bilion (RM4.07 bilion), namun syarikat penerba­ngan kebiasaannya akan mendapat diskaun yang besar daripada pengeluar.

Malaysia Airlines telah menghentikan pajakan operasi bagi pesawat badan lebar sejak penstrukturan semula, tetapi ini adalah kali pertama ia cuba mendapatkan pembia­yaan dengan pemberi pinjaman, kata sumber.

Syarikat itu mempunyai pesanan seba­nyak 25 buah pesawat 737 MAX bersama Boeing. –REUTERS