Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Kapten Izham Ismail berkata, MAB ketika ini memiliki seramai 927 orang juruterbang dan de­ngan penambahan tersebut jumlah itu dijangka dapat membantu MAB menormalkan operasi menjelang awal 2019.

Katanya, ketika ini juruterbang MAB bertanggungjawab mengendalikan pesawat B737-800, A330-300, A330-200, A350-900 dan A380-800.

“Bagaimanapun perkara-per­kara lazim seperti persaraan dan peluang kerjaya yang lebih baik di syarikat lain yang berlaku secara berterusan memerlukan usaha penggantian serta pengambilan barisan juruterbang baharu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis graduasi atau tamat latihan kru kabin dan juruterbang MAB di Akademi Malaysia Airlines di sini baru-baru ini.

Tambah Izham, syarikat pener­bangan nasional itu yang masih dalam proses pemulihan organi­sasinya, mencatatkan pertumbuhan tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK) yang tinggi namun berdepan kekurangan juru­ter­bang pada per­tengahan suku kedua tahun ini.

Menurutnya lagi, dalam tempoh 10 tahun akan datang, industri penerba­ngan memerlukan kira-kira 255,000 orang juruterbang di Asia Pasifik sehingga 2035.

“Justeru, pemain industri perlu peka terhadap keperluan bilangan juruterbang agar seiring dengan pertumbuhan sektor itu di Asia Pasifik dengan 40 peratus penghantaran pesawat adalah untuk rantau ini,” katanya.

Izham berkata, pemimpin syarikat penerbangan juga perlu membuat perancangan 10 tahun ke hadapan atau berisiko untuk berdepan masalah kekurangan juruterbang.

Selain MAB, syarikat penerbangan global lain seperti Qantas, Qatar dan Cathay Pacific turut berdepan masalah kekurangan juruterbang, termasuk Delta Airlines yang baru-baru ini meng­umumkan keperluan seramai 8,000 juruterbang baharu, katanya.

Jelas Izham, sejak tiga minggu lepas, MAB telah menempatkan kira-kira 250 juruterbang dalam pelbagai fasa latihan, termasuk penyertaan baharu yang menjalani latihan peralihan selain kadet yang dihantar ke sekolah penerbangan.