Ketua Pegawai Komersial Malaysia Airlines, Arved von zue Muehlen berkata, pembukaan semula laluan ke Queen­sland itu bertujuan mempromosikan Brisbane sebagai destinasi utama untuk perjalanan perniagaan dan percutian.

Beliau berkata, pesawat pertama yang berlepas ke Melbourne dengan kod MH135 itu melakukan penerbangan pada pukul 10.30 pagi dan dijangka tiba pukul 8.35 malam hari yang sama, manakala penerbangan pulang dengan pesawat MH134 akan berlepas dari Brisbane pada 11.35 malam dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 5 pagi keesokannya.

“Australia adalah satu daripada pasaran terbesar kami termasuk Brisbane, bandar ketiga terpadat di Australia. Kami teru­ja untuk kembali ke Brisbane dengan menawarkan pe­nerbangan terus empat kali se­minggu ke bandar berkenaan.

“Pada masa yang sama, ini juga menggalakkan penum­pang dari Brisbane untuk meneroka Malaysia yang terkenal dengan pelbagai daya tarikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pengeluaran Tourism Malaysia, Junus Suhud dan Pengurus Besar Pemasaran Syarikat Penerbangan Malaysia Airport Hol­ding Bhd., Mohamed Sallauddin Mat Sah.

Pada majlis pelancaran pe­nerbangan pertama ke Brisbane itu, semua penumpang MH135 diberikan hadiah istimewa sebelum menaiki pesawat.

Tambah Muehlen perkhidmatan penerbangan empat kali seminggu itu akan beroperasi menggunakan pesawat A330-300 dengan 290 tempat duduk yang terdiri daripada 27 tempat duduk Kelas Perniagaan dan 263 tempat duduk Kelas Ekonomi.

“Penerbangan itu dijadualkan terbang setiap Isnin, Rabu, Khamis dan Sabtu,” katanya.