Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata, projek tersebut merangkumi satu projek solar fotovoltaik berskala besar dan tujuh projek mini hidro di Pahang.

Beliau berkata, Malakoff menjangkakan projek solar tersebut mampu menjana tenaga sebanyak 50 megawatt (mW) manakala projek mini hidro menjana sehingga 100mW.

“Ia merupakan projek yang besar terdiri daripada lima tapak untuk kuasa hidro dan sebuah ladang solar bersepadu.

“Untuk projek hidro 100mW, kami menganggarkan kos kira-kira RM1 bilion, dan bagi projek ladang solar 50mW seluas 80.93 hektar sebanyak RM300 juta,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU antara Malakoff dan Touch Meccanica di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif, Touch Meccanica, Datuk Tengku Abdul Aziz Tengku Ibrahim.

Ahmad Fuaad berkata, 70 peratus daripada jumlah kos akan dibiayai menerusi pinjaman dengan bakinya melalui dana yang dihasilkan secara dalaman.

Katanya, MoU tersebut akan menjadi platform untuk bertukar pengetahuan dan kepakaran yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua syarikat.

“Ia juga menunjukkan komitmen Malakoff untuk mengembangkan RE dalam portfolio syarikat dan projek-projek ini akan menjadi pemangkin kepada Malakoff dalam memainkan peranan yang lebih besar untuk membangunkan projek RE di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, projek mini hidro itu dijangka dibangunkan di lima lokasi antaranya Bera, Maran dan Pekan, manakala projek solar di Semuji.