Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkara itu amat penting kerana kerajaan bimbang aset-aset strategik negara jatuh ke tangan pihak asing sekiranya berlaku perkara yang tidak diduga pada masa hadapan.

Bagaimanapun katanya, Kementerian Kewangan masih belum menerima sebarang kertas kerja bagi cadangan pengambilalihan tersebut.

“Sebenarnya, ada beberapa pihak telah melihat cadangan ini dulu (termasuk juga Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad) dan juga ada dua tiga pihak. Tetapi dalam hal melibatkan PLUS ini, kita telah melaksanakan pembiayaan semula melalui UEM Group Bhd. (UEM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),

“Jadi, jika ada sesiapa yang membuat cadangan ini, saya nak tahu duit datang daripada mana, jika datang dari luar negara, adakah berunsur pinjaman atau sebaliknya.

“Sekiranya berunsurkan pinjaman dan kemudiannya tidak boleh dibayar kerana tidak ada peningkatan dan sebagainya, ini akhirnya akan menyebabkan aset negara ini terlepas kepada orang luar. Bukan tidak boleh, cuma adalah penting bagi kita untuk tahu apakah model kewangan yang digunakan dan bagaimana mereka membiayainya serta apakah jaminan yang boleh berikan oleh mereka melalui sumber kewangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Fiesta Labur Permodalan Nasional Berhad (PNB) 2017 di sini hari ini. Yang turut hadir Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

Sebelum ini, dilaporkan Maju Holdings berhasrat untuk membeli PLUS Malaysia dengan nilai lebih daripada RM36 bilion dan sekiranya berjaya dalam bidaan itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Abu Sahid Mohamed memberi jaminan tiada kenaikan tol dalam tempoh 20 tahun sehingga tamat tempoh konsesi.

Namun, UEM dan KWSP, pemegang saham utama PLUS Malaysia tidak mempunyai ranca­ng­an untuk menjual pegangannya kepada Maju Holdings. UEM memiliki pegangan sebanyak 51 pera­tus dalam PLUS dan KWSP (49 peratus) menerima surat hasrat bukan bidaan daripada Evercore Asia Ltd., yang mewakili Maju Holdings.

KWSP pada Ogos lalu menegaskan, pihaknya tidak bercadang melupuskan 49 peratus kepenti­ngan dalam pengendali lebuh raya itu berikutan pelaburan dalam syarikat tersebut memberikan pulangan baik untuk dana pencen itu.

Sementara itu, mengenai pelaburan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) di luar negara terutama membabitkan KWSP, Johari berkata, tidak semestinya kesemua syarikat tersebut perlu membuat pelaburan di luar negara kerana pelaburan di dalam negara juga mampu memberi pulangan yang baik.

Katanya, ini kerana sebahagian besar daripada GLIC seperti PNB dan Lembaga Tabung Haji mempunyai pelaburan yang lebih besar dalam negara.

“Dalam hal berkaitan KWSP misalnya, ia mempunyai dana lebih RM700 bilion dan sebahagian dana ini dilaburkan dalam ekuiti, hartanah dan syarikat yang terlibat dalam infrastruktur. Dengan dana yang besar ini mereka perlu melabur di luar negara.

“Berdasarkan rekod KWSP, pulangan daripada pelaburan di luar negara pada tahun lalu menunjukkan pulangan yang baik. Jadi selagi semua pelaburan ini dibuat dengan teliti, saya fikir tidak ada masalah bagi KWSP untuk me­labur di luar negara,” katanya.