Ketua Pegawai Eksekutif Monster.com Asia Pasifik & Gulf, Abhijeet Mukherjee berkata, menurut kajian terbaharu oleh Monster.com, 85 peratus responden lebih suka jika mempunyai sempadan yang jelas di antara kehidupan peribadi dan pekerjaan.

Katanya, kajian itu juga mendapati sebanyak 45 peratus pekerja profesional di Malaysia, Singapura dan Filipina tidak berpuas hati dengan majikan kerana tidak memberi peluang untuk meluangkan masa dengan rakan-rakan dan keluarga di luar waktu pejabat.

Kajian terbaharu oleh Monster.com mendapati majikan tidak mempunyai dasar mengenai keseimbangan di antara waktu kerja dan waktu bersama keluarga.

Mukherjee berkata, walaupun 40 peratus responden berpendapat majikan mereka ‘agak menyokong’ keseimbangan kerja dan kehidupan, secara umumnya, mereka tidak konsisten dalam membantu pekerja mencari keseimbangan praktikal yang berfungsi untuk individu dan perniagaan.

Ujar beliau, keseimbangan kerja dan kehidupan adalah satu konsep yang tidak dapat dicapai oleh majoriti golongan profesional Malaysia, yang terus berhadapan dengan persekitaran pekerjaan yang tidak menyokong mereka dan kurangnya dasar kerja fleksibel bagi menggalakkan kehidupan yang lebih holistik.

“Malaysia masih jauh ketinggalan dalam memenuhi keperluan populasi bekerja. Walaupun beberapa langkah mungkin sudah wujud, ia bukan secara keseluruhan untuk majoriti perniagaan di seluruh negara.

“Satu anjakan sikap dan budaya diperlukan bagi menerima idea holistik ‘keseimbangan’, serta pendidikan tentang bagaimana cara untuk melaksanakan dasar yang tidak menjejaskan perniagaan secara negatif,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kajian Monster.com itu dijalankan ke atas 1,000 responden di seluruh Singapura, Malaysia dan Filipina dan merupakan sebahagian daripada kempen #WorkLifeBalance portal berkenaan.

Ia bertujuan meneroka sentimen golongan profesional yang bekerja mengenai keseimbangan kerja dan kehidupan dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan majikan mengenai aspek keseimbangan kerja-kehidupan yang paling dihargai oleh para pekerja.

Hasil kaji selidik itu mendapati, 81 peratus golongan profesional Malaysia percaya sokongan organisasi terhadap keseimbangan kerja dan kehidupan yang lebih baik adalah kunci untuk meningkatkan produktiviti.

“Kami juga mendapati halangan dalam bentuk sikap negatif pihak atasan dan rakan sekerja yang tidak bekerjasama atau terlalu kompetitif seringkali menghalang responden daripada mencapai versi keseimbangan kerja dan kehidupan yang ideal bagi mereka.

“Selain itu, tekanan berkaitan dengan kerja memberi kesan yang buruk ke atas kehidupan profesional yang bekerja; dengan 42 peratus responden bimbang tentang kerja walaupun pada waktu mereka tidak bekerja, sementara 38 peratus lagi bekerja berjam-jam pada hujung minggu dan 29 peratus selalu menyemak e-mel kerja selepas waktu kerja.

“Golongan profesional menyatakan mereka mengalami sakit belakang (16 peratus), keletihan (15 peratus), kemurungan (14 peratus) dan sakit kepala yang kerap (12 peratus) adalah penyakit-penyakit biasa berkaitan dengan pekerjaan yang mengganggu mereka di tempat kerja,” katanya.