La Kaffa International Co. Ltd. yang berpangkalan di Taiwan telah memfailkan tuntutan untuk permohonan injunksi bagi menghalang Loob daripada meneruskan operasi Tealive.

Menurut Loob, syarikat te­lah mengarahkan peguam untuk memfailkan rayuan kepa­da Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan itu.

“Peguam kami diarahkan untuk membuat permohonan kepada Mahkamah Persekutuan untuk mengekalkan status quo dan permohonan tersebut telah difailkan awal pagi ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Loob walau bagaimanapun menerusi kenyataan tidak memberitahu sama ada pihaknya akan menutup operasi dalam masa terdekat berikutan arahan tersebut.

Pada Februari 2017, Loob mengumumkan jenama teh baharu, Tealive setelah didakwa oleh La Kaffa bahawa Loob telah melanggar kontrak pemegang francais Chatime.

Sehingga kini, Loob memiliki sebanyak 161 cawangan di seluruh negara dengan 800 pekerja di seluruh negara.

Pada Mac lalu, Chatime Malaysia Sdn. Bhd., mengeluarkan surat tuntutan terhadap Loob kerana menyatakan jenama Chatime telah ditukar nama kepada Tealive sekali gus mengelirukan orang ramai.

Merujuk kepada dokumen saman pemula, injunksi itu pada dasarnya bertujuan menghentikan Loob daripada menjalankan perniagaan yang serupa dengan Chatime.

“La Kaffa tidak berpuas hati dengan Loob kerana memilih untuk meniru menu dan menggunakan jumlah pekerja, lokasi, susun atur dan konsep yang sama seperti Chatime,” katanya.