Pengarah Urusannya Datuk Badlisham Ghazali berkata, buat masa ini pengendali lapangan terbang itu akan meningkatkan operasi pengendalian bagasi dan sistem lain bagi menampung tiga hingga lima juta penumpang di dua lapangan terbang berkenaan.

“Kami merancang memang­gil terminal baharu itu sebagai KLIA3, bersempadan Landasan 3 dan 4. Kami perlu membuat keputusan dan membinanya dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah pembinaan kilang dan pejabat Senior Aerospace UPECA di Subang, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Per­da­gangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Axis Reit, Leong Kit May.

Terdahulu dalam ucapannya Badlisham berkata, projek pembinaan Subang Aerotech Park dijangka menarik pelaburan bernilai lebih RM1 bilion daripada pelabur tempatan dan antarabangsa untuk tempoh lima tahun akan datang.

Ujarnya, Subang Aerotech Park yang berkeluasan 24.28 hektar itu merupakan sebahagian daripada rangka kerja Aeroangkasa Kebangsaan 2030 dan dijangka menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan apabila siap kelak.

“Dengan kira-kira 70 syarikat aeroangkasa sudah berada dalam ekosistem aeroangkasa Subang, Subang Aerotech Park akan terus menyediakan platform untuk membina rantaian bekalan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mewujudkan ekosistem aeroangkasa yang lebih lengkap,” katanya.

Senior Aerospace UPECA adalah sebahagian daripada syarikat Senior PLC, pengeluar komponen dan sistem berteknologi tinggi antarabangsa.

Pembinaan kemudahan baharu seluas 16,536 meter persegi itu akan dilengkapi dengan teknologi automasi state of the art dalam pembuatan aeroangkasa yang akan dibangunkan oleh Axis-Reit.

Dalam pada itu Kit May berkata, projek pembinaan kilang dan pejabat Senior Aerospace UPECA itu akan digunakan untuk pembuatan, penyimpanan dan pengedaran peralatan aeroangkasa Senior Aerospace UPECA.

Katanya, kemudahan baharu itu akan menjadi tambahan kepada kemudahan sedia ada Senior Aerospace UPECA di Shah Alam, dan apabila siap akan menggunakan 360 kakitangan kejuruteraan dan teknikal berkemahiran.