Walau bagaimanapun, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali berkata, syarikat itu tetap komited dalam membangunkan lapangan terbang itu terutama dalam mempertingkatkan kapasitinya daripada 33 juta kepada 41 juta penumpang.

“Ini semua perkara biasa dalam perniagaan. Kita telah pegang saham 100 peratus di Istanbul dan sebelum ini kita beritahu kalau ada peluang, mungkin (menjual kepentingan) kita lakukan. Namun begitu, kita kena lihat dahulu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangan Perjanjian Bersama Kelapan (CA8) di Ibu Pejabat MAHB di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi MAHB, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

MAHB dilaporkan merancang untuk menjual kepentingan minoriti dalam syarikat yang mengendalikan lapangan terbang kedua terbesar di Turki.

Menurut sumber, syarikat itu dikatakan mencari pelabur untuk ISG dan merancang men-
gekalkan penguasaan dalam sya­-
rikat itu selain sedang berbincang dengan bank-bank untuk menjadi penasihat bagi perjanjian tersebut.

MAHB adalah konsortium yang memenangi kontrak bernilai 1.9 bi­lion euro (RM8.99 bi­lion) untuk mengendalikan lapangan terbang itu pada tahun 2007.

Pada 2013, syarikat itu telah bersetuju untuk meningkatkan pegangan dalam ISG sebanyak 60 peratus dengan membeli 40 peratus kepentingan GMR Infrastructure Ltd. sebanyak 225 juta euro (RM1.06 bilion).

Ia juga memiliki baki 40 peratus kepentingan dari Limak Holding pada tahun 2014 pada harga 285 juta euro (RM1.3 bilion).

Dalam pada itu, berhubung CA8 yang ditandatangani hari ini, Badlisham berkata, MAHB telah meluluskan satu artikel baharu iaitu Artikel 70 Elaun Pengangkutan Khas Tetap sebanyak RM110 sebulan kepada kira-kira 5,000 kakitangan bukan eksekutif mereka.

“Pelaksanaan CA8 ini akan dikuatkuasakan secara retrospektif mulai 1 Januari lalu sehingga 31 Disember 2019. Antara penambahbaikan yang diluluskan termasuk penstrukturan gaji baharu yang memberi fokus kepada kenaikan tangga gaji maksimum pada semua gred jawatan kumpulan bukan eksekutif.

“Peratusan kenaikan tangga gaji maksimum adalah antara 17 hingga 20 peratus dan sekali gus menjadikan penstrukturan gaji ini yang terbaik di Malaysia berbanding syarikat milik kerajaan lain,” katanya.