Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali berkata, pihaknya terbuka kepada penglibatan rakan kongsi baharu bagi memberi nilai tambah kepada lapangan terbang tersebut tetapi menegaskan syarikat itu tidak berada di bawah sebarang tekanan untuk menjual kepentingannya.

Beliau menegaskan, MAHB ko­mited sebagai pengendali ISG iaitu lapangan terbang kedua terbesar di bandar raya ini selepas Lapangan Terbang Ataturk, sehingga konse­sinya tamat pada 2032.

“Setakat ini perbincangan ke arah perkongsian baharu itu berada pada tahap tidak formal dengan pihak-pihak terlibat masih belum mengemukakan lagi sebarang cadangan. Apa yang saya boleh katakan, kita tidak tergesa-gesa untuk mencari rakan kongsi baharu.

“Tetapi ketika ini kita proaktif dalam menerima cadangan dan mengadakan perbincangan de­ngan pihak yang berpotensi ke arah perkongsian ekuiti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

MAHB sebelum ini dilaporkan merancang untuk menjual kepentingan minoriti dalam syarikat yang mengendalikan lapangan terbang kedua terbesar di Istanbul itu.

Menurut sumber, syarikat itu dikatakan mencari pelabur untuk ISG dan merancang mengekalkan penguasaannya itu selain sedang berbincang dengan bank-bank untuk menjadi penasihat bagi perjanjian tersebut.

MAHB adalah konsortium yang memenangi kontrak bernilai 1.9 bi­lion euro untuk mengendalikan lapangan terbang itu pada tahun 2007 dan pada 2013.

Syarikat itu telah bersetuju untuk meningkatkan pegangan dalam ISG sebanyak 60 peratus dengan membeli 40 peratus kepentingan GMR Infrastructure Ltd. sebanyak 225 juta euro sebelum memiliki baki 40 peratus kepentingan dari Limak Holding pada tahun 2014 dengan harga 285 juta euro.

Badlisham bagaimanapun tidak memperincikan saiz kepentingan yang ditetapkan oleh MAHB bagi perkongsian ekuiti tersebut sebaliknya berkata, ia bergantung kepada tawaran yang dikemukakan kepada pihaknya.

“Rakan kongsi yang betul akan memberi kita nilai yang betul. Kita telah menstrukturkan kewangan kita dan kita stabil dalam soal itu tetapi kita ingin melihat lebih daripada pulangan dari segi kewangan.

Sementara itu, beliau membe­ritahu, MAHB kini sedang melihat kemungkinan untuk penglibatan ekuiti di rantau-rantau seperti Asia Barat, Asia Tenggara dan Eropah dengan tiga bidaan dalam semakan ketika ini selain dua bidaan ekuiti lain dalam tempoh tiga tahun akan datang. – UTUSAN