Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali berkata, barangan seperti pakaian, fes­yen dan makanan antara produk yang berjaya mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelancong tempatan dan luar negara untuk berbelanja.

Beliau berkata, sebagai rekod terdapat premis perniagaan di lapangan terbang itu yang turut mencatat kenaikan jualan sebanyak 24 peratus pada tahun lepas berbanding tempoh sebelumnya.

“Biar pun bukan MAHB yang meraih jualan RM1 bilion itu, kami tetap mendapat manfaat­nya menerusi bayaran sewa. Oleh itu, ia membawa kebaikan kepada MAHB apabila premis berkenaan mencatat jualan tinggi.

“Bagi tahun ini pula, MAHB menyasarkan peningkatan jualan sebanyak 15 peratus berdasarkan unjuran peningkatan penumpang sebanyak 6.2 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran produk Seri Pinang di Agrobazaar Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin; Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Focus Group Pembangunan Usahawan dan Koperasi Bumiputera, Datuk Muhamad Farid Saad dan Timbalan Ketua Pengarah ICU JPM, Datuk Zolkopli Dahalan.

Laporan sebelum ini menyebut jumlah penumpang di 39 lapangan terbang di bawah kendalian MAHB di seluruh negara mencecah 96.54 juta orang pada tahun lalu berbanding 88.98 juta orang pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, sebanyak 49.4 juta orang adalah penumpang antarabangsa dan bakinya merupakan penumpang domestik.

Mengenai sambutan perayaan Tahun Baharu Cina yang akan datang, Badlisham berkata, pihaknya menjangkakan peningkatan penumpang sebanyak tiga kali ganda berbanding anggaran 50,000 penumpang sehari di KLIA2 dan KLIA sebelum ini.

Mengulas lanjut, Badlisham berkata, MAHB juga akan memu­lakan sistem bagi memboleh­kan penumpang meletakkan sendiri bagasi masing-masing untuk pendaftaran masuk pe­nerbangan pada minggu depan.

Mengenai pelancaran produk Seri Pinang di Agrobazaar FAMA di KLIA2, katanya, MAHB akan meneruskan usaha bagi mempromosikan pelbagai acara serta makanan Malaysia menerusi ker­jasama dengan beberapa entiti bagi kemudahan penum­pang berbelanja.

Sementara itu, Muhamad Fa­­rid berkata, sempena pelancaran produk tersebut, pihaknya akan mempromosikan sebanyak 67 unit simpanan barang (SKU) produk keluaran Seri Pinang di Agrobazaar KLIA DAN KLIA2 selama dua bulan sehingga 4 Mac ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu pihaknya menyasarkan jualan sebanyak RM300,000 terutamanya melibatkan produk terkenal keluarannya iaitu Jeruk Madu Pak Ali, kopi cappuccino, keropok dan lain-lain.