Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali berkata, pihaknya akan melantik firma perunding yang berperanan untuk menentukan keperluan rancangan untuk menambah baik infrastruktur termasuk strategi pemasaran lapangan terbang tersebut.

“Namun begitu, kita tidak per­lu menunggu sehingga tiga tahun untuk melakukan kerja-kerja pe­nambahbaikan di KLIA kerana usaha tersebut giat dijalankan ketika ini.

“Antaranya menukar konsep tandas di KLIA, memperluaskan surau, menaik taraf sistem bagasi dan tempat meletak kenderaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Konsep Baharu Tandas KLIA di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohammad Mantek.

Sementara itu, Badlisham ber­kata, pihaknya yakin jumlah penumpang di KLIA akan terus meningkat berdasarkan pertambahan pergerakan trafik penumpang sepanjang tahun ini.

Menurut beliau, pergerakan trafik bagi tempoh Januari sehingga Mei lalu di KLIA telah meningkat sebanyak 25.9 peratus kepada 12 juta penumpang berbanding tempoh sama pada 2016.

“Malah faktor itu turut disumbangkan menerusi penyertaan tiga pengendali penerbangan yang berminat untuk berada di KLIA,” katanya.

Pada masa sama, Badlisham memaklumkan, beberapa pelabur antarabangsa berminat untuk ber­kerjasama dengan MAHB dalam usaha membangunkan KLIA sebagai bandar aeropolis.

Jelasnya, pihak-pihak terlibat dijangka melakukan perbincangan bersama MAHB ketika Pameran Udara Antarabangsa Paris 2017 yang berlangsung bermula 19 Jun ini.