Niat baik dan ikhlas mereka itu kini bukan sahaja berguna kepada segelintir pelajar muslim di negara pulau tersebut tetapi juga turut memberi manfaat kepada penduduk dan pelancong Islam yang mengunjungi Taiwan.

Halal.TW dibangunkan oleh lapan orang mahasiswa dari Indonesia termasuk pelajar Sarjana Teknologi Maklumat NTUST, Intan Dzikria, 27, dan seorang mahasiswa Taiwan, Mahmood MA, 21.

“Mahasiswa Islam di NTUST tidak ramai dan penduduk Taiwan yang beragama Islam hanyalah lebih kurang seramai 300,000 daripada keseluruhan penduduk berjumlah kira-kira 24 juta orang. Kami mahasiswa seringkali berhadapan dilema untuk mencari makanan yang benar-benar halal di sini,” kata Mahmood yang merupakan Ketua Pegawai Maklumat Halal XYZ.

Halal.TW mengandungi maklumat terperinci mengenai gerai, restoran dan hotel yang menyediakan makanan halal dan perkhidmatan mesra muslim yang mendapat pensijilan halal dari Persatuan China Muslim (CMA) yang bertindak sebagai badan yang mengawal dan memantau makanan halal di Taiwan.

Dibangunkan tahun lalu, terdapat 256 tempat makanan halal disenaraikan dalam Halal.TW. Aplikasi yang mendapat kerjasama dan khidmat nasihat daripada CMA itu turut me­ngandungi maklumat mengenai lokasi masjid, surau atau tempat solat yang disediakan di kawasan awam untuk mengerjakan sembahyang pada bila-bila masa.

“Beberapa bulan lalu, kami menerima geran berjumlah TW­D950,000 (RM128,858.90) daripada Kementerian Pendidikan Taiwan. Mereka mahu membantu kami mengembangkan Halal.TW kerana aplikasi ini juga mengajar dan mendedahkan penduduk Taiwan mengenai produk halal dan umat Islam,” jelas Intan yang ditemui ketika membuat liputan program pelancongan Salam Taiwan anjuran Biro Pelancongan Taiwan.