Ketua Pegawai Eksekutif Mah Sing, Datuk Ho Hon Sang berkata, sasaran kumpulan seiring dengan pengumuman kerajaan untuk mewujudkan tiga kategori rumah mampu milik yang akan dibina di bawah Dasar Perumahan Negara selewat-lewatnya pertengahan November ini.

Katanya, beliau menyambut baik tiga kategori rumah berharga RM150,000 dan ke bawah, M150,000-RM300,000 dan RM300,000-RM500,000.

“Mah Sing mengalu-alukan pengumuman ini kerana kami telah membangunkan rumah berharga berpatutan sejak 2015 dalam usaha untuk membolehkan semua orang untuk memiliki rumah.

“Pelanggan adalah keutamaan kami justeru tumpuan kumpulan adalah untuk menyampaikan produk yang mendapat permintaan dan di lokasi strategik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mah Sing memulakan kempen ‘Reinvent Affordability’ pada akhir tahun lalu meliputi sebanyak empat projek iaitu M Centura di Sentul, M Vertica di Cheras, M Vista di Pulau Pinang dan fasa kedua Fern di Meridin East, Johor.

Pada April lalu. Mah Sing turut melancarkan ‘interchange’ untuk projek Southville City di Bangi bertujuan mengurangkan perjalanan di dalam dan di luar bandar itu.

Hon Sang berkata, melangkah ke hadapan, Mah Sing akan terus meningkatkan kehidupan para pelanggan dengan membangunkan produk mudah diakses dan terancang.

“Mah Sing telah membina rumah untuk rakyat Malaysia selama lebih 24 tahun dan kini mempunyai 47 projek di kawasan utama hartanah Malaysia.

“Sebagai satu daripada beberapa pemaju bersepadu sepenuhnya dengan portfolio kediaman, perdagangan dan perindustrian, Mah Sing setakat ini telah merekodkan jualan kira-kira 39,000 unit,” katanya. - UTUSAN ONLINE