Leong Hoy Kum
Leong Hoy Kum

Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, Cybercentre berfungsi sebagai ekosistem dan pusat untuk memupuk dan menyokong pertumbuhan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta meluaskan manfaatnya kepada komuniti tempatan.

Kata beliau, dengan status terbaharu ini, sya­rikat-syarikat yang beroperasi dalam Icon City layak mendapat insentif, hak dan keistimewaan melalui Akta Jaminan MSC Malaysia (BoGs) daripada kerajaan.

“Sebagai pemaju hartanah, kami bukan sahaja menghasilkan produk berkualiti malah ber­usaha untuk membangunkan taraf hidup dan komuniti kerja yang lebih baik untuk pelanggan.

“Oleh itu, Mah Sing Group te­lah bekerja keras dalam memastikan kriteria untuk mendapatkan status Cybercentre MSC Malaysia bagi pembangunan Icon City terlaksana,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Cybercentre MSC Malaysia me­laksanakan konsep pengklusteran industri iaitu meletakkan syarikat teknologi serupa dalam kawasan geografi yang sama seperti Lembah Silikon di Amerika Syarikat (AS) untuk membantu pertumbuhan ekonomi dengan meningkatkan aras inovasi, pembangunan dan daya saing di pe­ringkat serantau dan nasional.

Tambah Hoy Kum, syarikat yang beroperasi dalam Icon City akan menikmati pelbagai insentif antaranya status perintis yang memberikan pelepasan cukai 100 peratus sehingga 10 tahun dan Elaun Pelaburan Cukai sehingga lima tahun serta tiada duti import terhadap peralatan multimedia.

Katanya, syarikat tersebut juga mendapat kebebasan hak milik de­ngan mengecualikan syarikat berstatus MSC Malaysia daripada undang-undang pemilikan tempatan.

“Mereka turut dibenarkan me­ngambil pekerja mahir dan berpengetahuan tempatan atau luar negara secara terbuka dan berpeluang menjadi pemimpin serantau dalam perlindungan harta intelek dan undang-undang siber,” katanya.