Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ho Hon Sang berkata, terdapat banyak barang yang dikenakan SST termasuk bahan-bahan asas seperti simen, wayar elektrik, kaca dan besi yang mana ia merupakan elemen penting untuk sektor pembinaan.

Bagaimanapun katanya, beliau percaya harga pasaran tetap ditentukan oleh permintaan dan penawaran sama ada barang tersebut dikenakan SST atau tidak.

“Jika permintaan tinggi dalam keadaan penawaran yang sedikit sudah pasti harganya akan naik dan kalau keluarkan produk tetapi tiada pihak yang mahu membeli lama-kelamaan harganya akan turun.

“Buat masa ini impak SST kepada syarikat belum dapat dipastikan kerana sistem cukai itu baharu sahaja dilaksanakan. Kami menjangkakan tiada kenaikan terhadap harga rumah Mah Sing,” katanya kepada pemberita dalam majlis pelancaran Arts & Lights PLAY di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Strategi dan Operasi Kumpulan Mah Sing, Rachel Leong, Lionel Leong serta Jane Leong; Pe­ngurus Besar Pemasaran Jenama dan Strategik Mah Sing, Bernard Yong dan Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Mah Sing, Lyanna Tew.

Sementara itu, Hon Sang ber­kata, pasaran hartanah ketika ini adalah baik dan pihaknya optimis kerajaan baharu akan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk merancakkan kembali ekonomi negara.

“Tidak lama lagi dasar perumahan baharu akan diperkenalkan dan pembentangan Bajet 2019 juga dijangka pada awal November. Kami memang ada jangkaan yang baik terhadap perancangan kerajaan dan berharap isu pembia­yaan pembelian rumah pertama akan diberi perhatian,” ka­tanya.

Mengenai pembukaan Arts & Lights PLAY di Southville City, Hon Sang menyasarkan antara 20,000 hingga 25,000 pengunjung akan hadir ke ruang permainan interaktif itu yang dibuka pada setiap hujung minggu selama lapan minggu bermula 9 September sehingga 28 Oktober.

Menurutnya, Arts & Lights PLAY menghimpunkan pelbagai aktiviti menarik kepada semua peringkat umur dan ia merupakan satu cara interaksi yang berkualiti antara syarikat dengan pelanggan.