Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, Mah Sing akan melaksanakan projek pembangunan bersepadu, M Vertica di kawasan Batu 2.5 Cheras dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan berjumlah RM2.2 bilion.

Beliau berkata, pihaknya me­rancang untuk menawarkan kediaman mampu milik pada harga petunjuk RM450,000 dan disasarkan kepada pembeli rumah pertama.

“Kami merancang untuk membina suite kediaman seluas 850 kaki persegi dan 1,000 kaki persegi pada harga petunjuk RM529 per kaki persegi.

“Hartanah di kawasan ini dijangka menjadi satu daripada pusat tumpuan apabila siap kelak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, bagi tanah di Bukit Mertajam, Hoy Kum berkata, Mah Sing merancang untuk membangunkannya sebagai kawasan perindustrian berdasarkan konsep iParc yang pernah memenangi anugerah sebelum ini.

Katanya, projek tersebut dijangka mempunyai GDV bernilai RM150 juta dan dilengkapi de­ngan pembangunan bercampur termasuk lot kedai, pejabat dan kilang bagi industri ringan.

“Kami akan terus meningkatkan portfolio bank tanah bagi memastikan strategi perniagaan selaras dengan permintaan pasaran.

“Dengan pengambilalihan terbaharu ini, Lembah Klang pada masa ini menghasilkan kira-kira 67 peratus daripada GDV yang masih ada dan jualan belum dibia­yai, dan kami menyasarkan untuk meningkatkannya kepada 75 peratus dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya.